Azmin ingin temui SPR dalam tempoh 48 jam
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan menghantar surat rasmi bagi mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 48 jam susulan cadangan persempadanan semula pilihan raya.
Azmin berkata pertemuan dengan SPR perlu agar kerajaan negeri mendapat maklumat terperinci asas mengenai persempadanan semula tersebut.
Menurut Azmin yang juga timbalan presiden PKR, pertemuan tersebut juga diputuskan setelah Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) mengambil maklum cadangan SPR dan membantahnya.
"MMKN mengambil maklum dengan cadangan tersebut dan kita membantah cadangan yang dibuat SPR dan MMKN telah bersetuju untuk mengambil langkah-langkah berikut.
"Saya akan keluarkan satu surat rasmi kepada SPR hari ini untuk mengadakan pertemuan dengan SPR supaya kita diberikan maklumat tentang asas mereka membuat sempadan tersebut.
"Apakah metadologinya, apakah sistemnya, apakah asas yang digunakan kerana cadangan yang dikemukakan SPR itu telah melanggari dua peruntukan besar dalam Perlembagaan Persekutuan setelah kita merujuk peguam," kata Azmin.
Azmin berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai mempengerusikan mesyuarat exco di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam sebentar tadi.
Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini, memaklumkan kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lepas.
Mengikut persempadanan semula itu, SPR turut mencadangkan penambahan satu kerusi baru Damansara, yang meliputi kerusi Petaling Jaya Utara sebelum ini, dengan bilangan pengundi melebihi 150,000 orang.
Mengulas lanjut, anggota parlimen Gombak itu berkata sekiranya pertemuan dengan SPR gagal, pihaknya tidak teragak-agak untuk memgambil tindakan undang-undang.
"Sekiranya gagal diadakan pertemuan dalam tempoh 48 jam, saya dan kerajaan negeri meminta SPR mengeluarkan kenyataan secara bertulis atas perkara-perkara tersebut.
"Kalau gagal juga kita akan mulakan dengan tindakan undang-undang yang sedang diteliti oleh pihak peguam," tegas Azmin.
Sementara itu, Azmin yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa berkata pihaknya sekali lagi menegaskan tidak akan ada pilihan raya mengejut di negeri itu.
"MMKN juga mengambil maklum tentang keperluan kita untuk
fokus terhadap tindakan undang-undang dan tidak bersetuju untuk mengadakan pilihan raya negeri. Itu keputusan Exco hari ini," kata Azmin.

