Rakyat Selangor tidak bodoh, bahkan paling berpencerahan tentang isu-isu politik dan ekonomi negara, kata Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Md Akin.

Beliau mengulas kenyataan Ketua DAP Selangor Tony Pua, yang berkata hanya yang "bodoh" mahu pilihan raya negeri diadakan selepas persempadanan semula dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mengalih bidasannya kepada SPR, Shamsul berkata suruhanjaya itu perlu objektif dalam proses persempadanan semula kawasan pilihan raya.

“SPR harus objektif di dalam proses persempadanan semula, yakni berdasarkan faktor yang munasabah untuk menuju ke arah meratakan padang permainan demokrasi, bukan memburukkan lagi.

“Proses persempadanan semula juga mestilah mencerminkan masyarakat Malaysia yang majmuk dan bukan bertujuan untuk memburukkan lagi masalah perkauman di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Walau bagaimanapun, Shamsul yakin bahawa rakyat mahukan perubahan kerana mereka telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan negara.

“Kegagalan perdana menteri memberi penjelasan terhadap isu 1MDB mendorong kepada tuntutan rakyat untuk melakukan perubahan kepimpinan,” katanya.

Menaruh keyakinan bahawa kerajaan negeri Selangor telah memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada semua kaum, pemimpin PKR itu percaya apa sekali bentuk persempadanan semula yang dilakukan tidak akan melihat negeri berkenaan kembali kepada BN.

Shamsul berkata walaupun PKR sedar bahawa cadangan SPR mewujudkan cabaran baru untuk pembangkang, namun mereka tidak akan mengalah dengan mengadakan pilihan raya awal.

Beliau mendedahkan bahawa semasa mesyuarat biro politik PKR malam semalam, mereka bersetuju untuk bertindak selari dengan seruan BERSIH supaya menggunakan segala cara dan ikhtiar yang ada bagi mengemukakan bantahan ke atas proses persempadanan semula.

Ini termasuk memfailkan kes mahkamah.

Pua hari ini berkata, DAP Selangor pada mesyuarat tergempar malam semalam memutuskan bahawa pilihan raya negeri awal perlu diadakan.

"Jika kamu buat tinjauan rambang, ramai akan menyatakan perkara yang sama.

"Adalah bodoh jika kamu berkata kita harus mengadakan pilihan raya selepas persempadanan semula selesai," kata Pua.

Isnin lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali menolak cadangan pilihan raya awal dengan berkata kerajaan negeri tidak boleh mengkhianat mandat yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu.

Cadangan supaya pilihan raya awal diadakan di Selangor pertama kali dicetuskan oleh pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.