Aktivis Lena Hendry diperintahkan untuk membela diri selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan beliau yang dituduh di bawah Akta Penapisan Filem 2002.

Peguamnya, New Sin Yew, memberitahu Malaysiakini bahawa keputusan itu disampaikan oleh Hakim Mohamad Shariff Abu Samah hari ini.

"Kes ini akan didengar oleh majistret yang sama (yang membebaskannya). Mahkamah Majistret akan menghubungi kami untuk tarikh (pendengaran) baru," kata New.

Pengurus program di NGO Pusat Komas itu didakwa pada September 2013 kerana menayangkan filem dokumentari 'No Fire Zone' mengenai perang saudara Sri Lanka, yang tidak diluluskan oleh Lembaga Penapisan.

Di bawah Seksyen 6 (1) (b) Akta Penapisan Filem 2002, Lena akan berdepan dengan hukuman penjara tiga tahun atau denda tidak melebihi RM30,000 jika sabit kesalahan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur pada pukul 9 malam, 3 Julai 2013.

Pada masa itu, kumpulan hak asasi manusia tempatan dan antarabangsa mengutuk pertuduhan itu yang didakwa bermotifkan politik dan melanggar asas kebebasan awam.

Perbicaraan bermula pada Disember tahun lepas dan Majistret Mohd Rehan Mohd Aris pada 10 Mac membebaskan Lena daripada pertuduhan tersebut.