Ringgit dijangka RM3.95 sedolar akhir tahun
HSBC Global Research mengekalkan unjurannya bagi ringgit yang diniagakan pada 3.95 berbanding dolar AS pada akhir tahun ini dan 3.85 pada akhir 2017.
Bagaimanapun, katanya pemulihan mata wang tempatan itu akan melalui laluan sukar disebabkan penurunan harga minyak, mudah tunai pertukaran asing yang lemah dan politik yang tidak menentu.
"Kami menunggu paras yang lebih baik untuk menjual dolar AS bagi ringgit.
Peluang mungkin wujud selepas acara penting pada September-Oktober termasuk Bajet 2017 selesai," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata Malaysia telah mendapat manfaat daripada pelaburan langsung asing antara Asia dan pelaburan portfolio yang kukuh, manakala pelabur tradisi Eropah dan Amerika Syarikat kekal tidak memasuki pasaran.
"Ringgit boleh dianggap sebagai mata wang yang memberikan pulangan agak tinggi di Asia juga, dan malah, ia telah menyaksikan aliran masuk portfolio asing yang agak besar setakat ini tahun ini.
"Kami berharap dolar AS-ringgit akan susut. Kami percaya tahap penyusutan nilainya pada hari ini adalah berlebihan, berdasarkan kedudukan pelaburan antarabangsanya yang lebih baik," katanya.
-Bernama

