Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin berkata pihaknya sedia menganjurkan dialog dan menjemput Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) Zamihan Mat Zin supaya berdialog di negeri itu.

"Insha Allah, pihak saya akan menyediakan pentas yang luas sama ada di masjid ataupun di dewan yang besar.

"Jemputan untuk beliau akan menyusul Insha Allah. Harap kali ini tiada pelbagai alasan lagi sebab beliau yang memulakan semula cabaran," katanya dalam kenyataan disiarkan di laman Facebooknya.

Menurut Asri, ini adalah kali ketiga Zamihan mengajaknya berdebat dengan slogan "Bila-bila masa dan di mana sahaja".

Bagaimanapun katanya, selepas bersetuju dengan debat berkenaan dan program diatur, Zamihan tidak hadir dengan pelbagai alasan.

"Saya ketika itu semacam nekad enggan layan lagi jika ada cabaran beliau di masa hadapan. Namun kali ini nampaknya macam beliau ingin berdebat pula seperti kenyataan beliau dalam MK (Malaysiakini).

"Saya fikir beliau suka membuat tuduhan rambang kepada pelbagai pihak dengan perkataan 'mu lah kafir, anjing, murtad, masuk neraka dan lain-lain sehingga menimbulkan kegusaran awam.

"Maka orang awam khususnya rakyat Perlis patut diberi peluang melihat secara terbuka satu dialog dengan beliau," kata Asri.

Selain itu, katanya, ada seorang AJK ASWAJA yang dikenali sebagai Abu Syaqi juga ingin berdebat di Perlis.

"Untuk beliau itu rasanya memadailah Ustaz Salman Ali yang merupakan tokoh ilmuan muda akan mewakili isu 'Bahaya Terrorism' bagi menunaikan hajat beliau berkenaan.

"Kita akan pilih satu tarikh dialog ilmiah terbuka dua hari berturut-turut di Kangar yang membabitkan dua dialog berkenaan.

"Orang ramai, rakyat Malaysia dan nusantara bolehlah datang ke Kangar Perlis. Ini akan memakmurkan Perlis dan Perlis diharapkan menjadi pentas wacana ilmu negara," katanya.

Terdahulu, Zamihan hari ini berkata beliau sedia menyahut cabaran mufti Perlis itu untuk mengadakan dialog yang sebelum ini ditujukan kepada NGO Gabungan Angkatan Melayu Islam Nusantara (AMIN).

Zamihan juga mahu menentukan tajuk forum itu berbunyi ‘Ajaran Wahabi di Malaysia: Fakta atau Auta?’.

Semalam Asri menggesa AMIN berdialog mengenai “Bahaya Ekstrimisme Agama” di Perlis namun NGO itu menolaknya atas alasan tidak mahu berbalah.

Ia berikutan kenyataan AMIN supaya kerajaan mengharamkan penceramah seperti Asri kerana mengajar fahaman Wahabisme yang didakwanya mendorong ektremisme dan mengancam keselamatan.