Bagaimana BN dapat manfaat persempadanan di Selangor
Nota Editor: Berita ini tidak serasi dengan Malaysiakini app. Sila lihat di desktop atau pelayar mudah alih.
Tidak sampai seminggu selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan syor persempadanan semula, pihak pembangkang menjadi bimbang mengenai kemungkinan ia akan kehilangan Selangor, negeri terkaya di negara ini.
DAP, khususnya, menuding jari kepada SPR dan menggesa rakan-rakan dalam Pakatan Harapan untuk bersetuju mengadakan pilihan raya mengejut bagi mendahului langkah persempadanan semula itu.
MP DAP Serdang Ong Kian Ming semalam mengeluarkan analisisnya mengenai persempadanan semula di Selangor untuk membuktikan perkara tersebut.
Malaysiakini telah secara bebas mengesahkan data yang disediakan oleh Ong dan mengemukakan di sini dalam satu siri infografik untuk memberi perspektif yang lebih jelas mengenai maksud angka-angka tersebut.
Berikut adalah semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor yang telah disenaraikan mengikut kepada parti-parti yang memenanginya dalam pilihan raya umum ke-13.
Ia memaparkan majoriti yang dimenangi oleh parti masing dan bagaimana majoriti akan berubah di bawah persempadanan baru yang dicadangkan oleh SPR.
Berdasarkan data dan corak pengundian dalam pilihan raya umum lepas, jika pilihan raya diadakan menggunakan persempadan baru yang SPR cadangkan, PAS akan kehilangan empat kerusi DUN iaitu Morib, Selat Klang, Sijangkang dan Dusun Tua.
Kecuali Sabak dan Tanjong Sepat, yang kekal tidak berubah, kesemua sembilan kerusi negerinya yang lain juga akan menyaksikan majoriti mereka berkurangan.
Tidak ada kerusi di mana PAS akan menyaksikan peningkatan majoritinya.
PKR pula yang akan kehilangan tiga kerusi iaitu Ijok, Pelabuhan Klang dan Sementa.
Empat kerusi lain yang PKR menang selesa, juga mungkin berada dalam jangkauan BN kerana majoritinya dikurangkan dengan ketara.
Kerusi berkenaan ialah Kota Anggerik (majoriti 4,503 berkurang kepada 86 majoriti), Taman Medan (majoriti 3,731 berkurang kepada 1,125), Batu Tiga (majoriti 3,261 berkurang kepada 2,983) dan Seri Andalas (15,633 berkurang kepada 3,569).
Ini sebahagian besarnya dicapai dengan menggerakkan daerah mengundi yang cenderung kepada pembangkang, ke kerusi lain yang dimenangi pembangkang dengan majoriti yang besar, dengan itu meningkatkan lagi majoriti PKR di tujuh kerusi lain.
Corak yang sama dilihat dalam semua kerusi DAP, yang dengan ketara meningkatkan majoriti mereka kecuali Kuala Kubu Bharu.
Kuala Kubu Bharu adalah kerusi tunggal DAP yang akan menyaksikan penurunan majoriti daripada 1,702 undi kepada 577 undi.
Bagi BN, cadangan SPR itu akan menyaksikan majoriti gabungan itu melonjak di lima kerusi iaitu Bukit Melawati, Permatang, Kuang, Kota Damansara dan Semenyih.
BN menangi Kota Damansara dan Semenyih dalam pilihan raya umum lepas kerana berlaku pertandingan tiga penjuru.
Dengan persempadanan semula, BN akan mampu menang lagi di Semenyih walaupun tanpa pertandingan tiga penjuru, tetapi Kota Damansara akan menjadi satu cabaran untuk dipertahankan jika ia pertandingan satu lawan satu.
Lima kerusi lain BN tidak akan berubah dan hanya dua kerusi BN akan menyaksikan majoriti mereka berkurangan.
Kedua-duanya adalah Jeram dan Sungai Burong, di mana tempat mengundi telah dipindah ke kerusi BN yang berisiko.
Pada keseluruhannya, Pakatan Harapan dan PAS akan kehilangan sebanyak tujuh kerusi kepada BN di bawah persempadan baru itu.
Lima kerusi HARAPAN dan kerusi yang dimenangi PAS, juga akan menjadi rebutan kerana BN hanya akan perlu untuk menarik kurang daripada 500 pengundi memihak kepadanya.
Pada pilihan raya umum lepas, Pakatan Harapan dan PAS secara kolektif memegang 44 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri manakala BN hanya menang 12 kerusi.
Kemampuan BN untuk merampas Selangor tanpa berlaku pertembungan pelbagai penjuru dalam pembangkang, mungkin sukar dicapai.
Tetapi persempadanan semula kali ini telah berjaya menutup jurang itu dan sebarang pertandingan banyak penjuru dalam pembangkang, akan menguntungkan pihak BN untuk menang.
Kow Gah Chie, Lu Wei Hoong dan Nigel Aw menyumbang kepada cerita ini.

