Trump, Ali Tinju berita ‘buruk’ tapi baik untuk perniagaan
Ketua Pegawai Eksekutif stesen radio BFM, Malek Ali berpandangan menyiarkan terlalu banyak berita mengenai "watak berwarna-warni" akan memudaratkan orang ramai.
Sebagai contoh, beliau menamakan calon presiden Amerika Syarikat, Donald Trump; presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali dan ketua Gerakan Merah, Mohd Ali Baharom yang juga dikenali sebagai Ali Tinju.
Bagaimanapun, Tan Lee Chin, ketua kandungan, Media Chinese International Limited Group yang memiliki portal China, PocketTimes berpendapat individu seperti itu adalah baik untuk perniagaan.
"Saya masih ingat, saya pernah beritahu pasukan berita, kita tidak boleh siarkan semua yang diperkatakan mereka ini.
"Kerana apa yang kita lakukan itu adalah memudaratkan. Orang-orang ini menggunakan kita (media) untuk menyebarkan kata-kata mereka yang tidak masuk akal.
"Kita tahu penonton bosan mendengar semua ini," kata Malek pada sebuah forum undang-undang media di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau menjawab soalan mengenai sama ada tumpuan media terhadap Trump mempunyai sebarang kaitan dengan wang.
Malek berkata liputan ke atas mereka itu bukan dipengaruhi oleh keputusan membuat perniagaan, sekurang-kurangnya untuk stesen radio BFM yang diterajuinya.
Tan, bagaimanapun berkata, berita mengenai orang seperti Trump mampu menarik lebih ramai penonton di alam maya yang boleh diterjemahkan sebagai pendapatan.
"Adalah lebih mudah bagi perkara bodoh mencuri tumpuan dalam talian.
"Sedangkan orang seperti Hillary Clinton tidak 'seksi' dalam talian," kata Tan.

