Terjemahan Ahli Parlimen DAP dari Seputeh, Teresa Kok menuntut penjelasan daripada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri berhubung pengharaman 11 buah buku, sebahagian besarnya buku agama, pada 20 April lalu.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, perlu menyatakan bagaimanakah buku-buku tersebut "boleh memudaratkan ketenteraman awam".

"Dengan setakat mengatakan penerbitan terbabit memudaratkan ketenteraman awam tanpa memberi justifikasinya, tidak boleh diterima," katanya dalam satu kenyataan.

Dengan mengambil contoh buku ' A History of God' , Kok mempersoalkan tindakan mengharamkan buku tersebut dan 10 buku yang lain, di mana kesemua tajuknya mengenai agama dan kerohanian (lihat carta).

Diterbitkan pada tahun 1994 dan sejak itu berada di pasaran, buku A History of God ditulis oleh penulis ternama dan bekas biarawati, Karen Armstrong.

"Apakah rasionalnya, baru sekarang pihak berkuasa mahu mengharamkan buku ((Armstrong) selepas lebih 10 tahun (berada di pasaran)?" tanya Kok, yang juga setiausaha publisiti kebangsaan DAP.

"Pengharama itu melanggar kebebasan asas kepada informasi, menafikan masyarakat agama khususnya dan orang ramai umumnya untuk mengetahui pandangan yang dinyatakan dalam buku-buku tersebut," katanya.

Kok juga menggesa supaya dikajisemula perintah tersebut dan ditarik balik pengharaman ke atas buku-buku terbabit.

Menurutnya, keputusan pihak kementerian berkenaan jelas 'mundur ke belakang" dan tidak selari dengan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan sebuah masyarakat berpengetahuan, terutama dalam era teknologi maklumat sekarang.

Katanya, rakyat mesti diberi kebebasan asas untuk mendapat maklumat, dan bukan hanya mendapat maklumat yang mahu disebarkan oleh pihak pemerintah sahaja.

Buku A History of God mengesan sejarah ketuhanan dalam tiga agama utama: Kristian, Judaisme dan Islam.