Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Walaupun Naib Presiden PKR Darell Leiking meninggalkan parti itu, namun ia tidak bermakna parti tersebut akan lumpuh di Sabah.

Naib Presiden PKR Tian Chua berkata, walaupun Leiking tidak lagi bersama namun ahli parlimen Penampang itu akan tetap bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

"Saya tak rasa (PKR Sabah akan lumpuh). Saya rasa PKR di Sabah akan terus berkembang. Kita sedang merangka dan akan teruskan pakatan yang lebih meluas.

"Dalam situasi terkini di Sabah, mereka memerlukan suara orang tempatan dan dia (Leiking) mahu fokus pada politik Sabah berbanding politik nasional.

"Tapi dia tetap bersama dengan parti yang mesra dengan kita," katanya ketika ditemui pemberita di ibu negara hari ini.

Leiking meninggalkan PKR untuk bekerjasama dengan bekas naib presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal yang membentuk parti baru untuk Sabah.

Darell dilihat hadir bersama Shafie di pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) di Putrajaya pagi tadi.

Selain itu, ditanya desas-desus anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Moyog, Terence Siambun serta Datuk Seri Lajim Ukin akan turut mengikuti Darell, Tian menafikannya.

Malah anggota parlimen Batu itu berkata PKR serta Shafie mempunyai formula tertentu bagi memastikan agar BN di negeri berkenaan dapat ditumbangkan.

"Saya rasa kami dan Shafie akan mengambil beberapa formula.

"Saya rasa formula untuk melawan BN di Sabah dan Sarawak ialah, penting untuk ada elemen tempatan. Jadi kita sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan parti tempatan.

"Bukan hanya dengan parti Shafiee tetapi parti lain juga," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS