Ambalat: Kata sepakat, bukan perjanjian rasmi, jelas Panglima TLDM
Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Datuk Seri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, langkah mengurangkan kapal tentera laut di kawasan Maritim Ambalat di Laut Sulawesi adalah atas inisiatif angkatan laut Malaysia dan Indonesia, dan bukannya hasil perjanjian rasmi.
Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Datuk Seri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, langkah mengurangkan kapal tentera laut di kawasan Maritim Ambalat di Laut Sulawesi adalah atas inisiatif angkatan laut Malaysia dan Indonesia, dan bukannya hasil perjanjian rasmi.
Menurut laporan Bernama, Mohd Anwar berkata beliau telah mencapai kata sepakat dengan Panglima Tentera Laut Indonesia Laksamana Madya Slamet Subiyanto semasa pertemuan mereka di Batam minggu lalu bagi meredakan ketegangan di kawasan yang menjadi pertikaian itu.
"Satu cara untuk meredakan keadaan ialah untuk tidak terjadi satu lagi pergeseran di situ. Kita tidak mahu situasi dua kapal terlalu berdekatan," katanya selepas upacara penerimaan kapal layar MV Puteri Mahsuri dan Pemakaian Pangkat Kapten Kehormat Pasukan Sukarelawan Simpanan TLDM kepada Pengerusi Eksekutif Halim Mazmin Berhad Tan Sri Halim Mohamad di Pangkalan TLDM di Lumut.
Mohd Anwar mengulas laporan akhbar yang memetik kenyataan Panglima TNI, Jeneral Endriartono Sutarto bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai perjanjian antara kedua-dua negara bagi menghadkan bilangan kapal tentera laut mereka di kawasan itu.
Endriartono berkata beliau tidak mendapat pengesahan mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Malaysia tiada masalah untuk mengurangkan bilangan kapal perang di Laut Sulawesi seperti dipersetujui.
Awal bulan ini, kapal perang kedua-dua negara bergesel dekat terumbu Karang Unarang ke timur pulau Borneo, tempat Indonesia membina sebuah rumah api untuk mengukuhkan tuntutannya terhadap kawasan yang menimbulkan pertikaian itu.
Capai kata sepakat
Menurut Mohd Anwar lagi, TLDM mengurangkan kehadiran kapalnya di Ambalat daripada dua kepada satu selepas melihat Tentera Nasional Indonesia (TNI) turut mengurangkan asetnya di situ.
"Bukannya ada satu perjanjian yang telah ditandatangani, ia adalah kata sepakat untuk meredakan keadaan...itu sahaja," kata Mohd Anwar yang akan mengambilalih jawatan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Khamis ini.
Mohd Anwar bagaimanapun berkata kapal perang kedua-dua pihak akan tetap berada di situ sehingga pertikaian berkenaan dapat diselesaikan tanpa menetapkan jumlah kapal.
"Kita tidak tahu sampai bila tetapi selagi belum ada penyelesaian oleh Jawatankuasa Teknikal Malaysia dan Indonesia (untuk atasi masalah ini), kedua-dua angkatan laut bersepakat untuk hadir di lapangan (Ambalat)," katanya.
Pada masa ini Malaysia dan Indonesia hanya menempatkan satu kapal perang sahaja di situ," katanya.
Mohd Anwar juga berkata beliau dan Slamet bersetuju supaya ketegangan di Ambalat itu tidak menjejaskan kerjasama antara kedua-dua angkatan laut yang telah lama terjalin.
Malah, Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk meningkatkan "Rondaan Terkoordinasi Selat Melaka" yang membabitkan Malaysia-Indonesia dan Singapura.
"Hubungan kita tidak terjejas, malah kita masih hantar pegawai tentera kita ke kolej tentera di Jakarta," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.