Seorang penduduk Taman Sri Lalang di daerah Kota Tinggi berkata dia berdua di rumah bersama anak jiran yang dijaganya sebelum mendengar bunyi kuat dari bahagian atas bumbung.

"Saya bergegas berlari keluar dan memanggil jiran kerana takut, tiba-tiba angin kencang berserta hujan menyebabkan bahagian bumbung rumah terbang.

Ribut ini merupakan yang paling buruk sejak saya tinggal di sini 20 tahun lalu," kata Hamidah Idrus, 56, kepada Bernama.

Beliau memberitahu demikian kepada Bernama yang membuat tinjauan di dua kawasan yang terlibat di Taman Sri Lalang dan Taman Kota Intan.

Dalam kejadian itu, 12 rumah termasuk dua sekolah mengalami kerosakan akibat ribut yang melanda di beberapa kawasan di daerah itu petang semalam.

Sementara itu, pegawai daerah Kota Tinggi, Noorazam Osman berkata bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dan tiada pusat pemindahan dibuka berikutan kejadian ribut berserta hujan kira-kira 2 petang itu.

"Kerosakan turut melibatkan empat rumah di Taman Sri Lalang, tiga rumah di Kampung Baru Pasak, dua rumah di Kampung Felda Pasak dan sebuah rumah di Taman Kota Intan," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa dan menyampaikan bantuan di Taman Sri Lalang hari ini.

"Ribut yang berterusan dalam tempoh 10 hingga 15 minit itu turut menjejaskan bumbung bangunan dan parkir kenderaan sekolah di Kampung Sungai Telur dan Kampung Felda Sungai Sayong," katanya.

Noorazam Osman berkata pihaknya akan menilai kerosakan yang dialami mangsa bagi membolehkan kerja-kerja membaik pulih.

Mangsa terlibat juga diberikan bantuan awal bernilai RM300 daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) dan RM100 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

- Bernama