Empat syarikat pemaju didenda antara RM2,000 hingga RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas mereka mengaku bersalah gagal mematuhi syarat-syarat tertentu semasa memajukan tanah di Seksyen U10 dan Seksyen U11 berhampiran Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam.

Ecoasli Development Sdn Bhd dan Lebar Daun Development Sdn Bhd masing-masin didenda RM50,000, Tetuan Tudong Emas (M) Sdn Bhd (RM30,000) dan Tengku Shahrudin Sdn Bhd (RM2,000).

Menurut laporan Bernama , Hakim Suraya Othman berkata pemaju tidak seharusnya mengambil mudah bahawa pihak berkuasa hanya akan menutup sebelah mata dengan tidak mengambil tindakan sekiranya mereka gagal mematuhi syarat-syarat atau undang-undang.

Katanya, syarikat-syarikat pemaju juga sepatutnya berasa insaf kerana mahkamah hanya mendenda dan tidak menjatuhkan hukuman penjara ke atas mereka, berharap hukuman itu akan memberi pengajaran kepada mereka.

"Pada masa akan datang, saya rasa pindaan akan dibuat di mana pengarah-pengarah syarikat harus dipenjarakan sebagai pengajaran kepada mereka, tetapi kita belum sampai ke tahap itu. Saya harap ini tidak akan berulang lagi," katanya.

Ecoasli didakwa tidak mematuhi syarat-syarat kelulusan EIA bertarikh 17 Mei 2000 iaitu kerja-kerja pemulihan, penstabilan cerun-cerun bukit tidak dijalankan serta-merta dan dibiarkan tanpa ditanam rumput, di samping gagal mengemukakan laporan pengawasan ke atas kualiti air sungai, pepejal terampai yang dilepaskan dari kolam perangkap mendap, udara ambient dan bunyi bising kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ia juga didakwa gagal mengemukakan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) kepada JAS dan tidak mempamerkan satu salinan syarat-syarat kelulusan Laporan EIA di suatu tempat yang sesuai dan boleh dilihat dengan jelas.

Ecoasli didakwa melakukan kesalahan itu di tapak projek pembangunan perumahan dan perdagangan di atas plot 1 dan 2, Seksyen U11, Mukim Bukit Raja di sini, kira-kira 2.45 petang 15 Dis tahun lepas. Syarikat itu diwakili oleh pengarahnya Zakaria Yaakob.

Boleh dihukum penjara

Lebar Daun pula didakwa bersubahat dengan Ecoasli melakukan kesalahan yang sama di tempat, masa dan tarikh yang sama. Syarikat itu yang diwakili pengarah, Noor Azhar Mohd Nordin, juga tidak diwakili peguam.

Kedua-dua syarikat terbabit didakwa di bawah Seksyen 34A(7) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan dihukum di bawah Seksyen 34A(8) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tudong Emas didakwa menjalankan kerja-kerja pemajuan tanah tanpa terlebih dahulu memperolehi kelulusan sebagaimana peruntukan Seksyen 70A(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 di Seksyen U10 di sini antara Jun 2004 dan Februari lepas.

Bagi kesalahan itu Tudong Emas didakwa di bawah Seksyen 70A(9) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali. Tudong Emas yang diwakili pengurus pengurusan, Abdul Aziz Salleh diwakili peguam Adnan Rahim.

Tengku Shahrudin pula didakwa telah menjalankan kerja-kerja tanah tanpa mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan iaitu tidak membina penahan-penahan enapan seperti dalam peruntukan Seksyen 14 (b) Undang-undang Kecil Kerja Tanah (Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)) 1990 di Seksyen U10 di sini antara Jun 2004 dan Feb lepas.

Kesalahan di bawah Seksyen 18 (b) Undang-undang Kecil di bawah peruntukan yang sama itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000. Pengarah syarikat itu, Gan Boon Kat hadir bagi pihak syarikat itu.

Sebelum itu, keempat-empat syarikat terbabit merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan kerana mereka telah mengaku bersalah dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi.

Timbalan Pendakwaraya Salehuddin Saidin dibantu oleh Pegawai Pendakwa dari JAS Selangor Nurhuda Salam dan Pegawai Pendakwa dari MBSA, Surya Wati Shawal dan Sofian Abdul Rahman.

Pada 11 Mac lepas, tiga syarikat pemaju di Seksyen U10 di sini berhampiran Bukit Cahaya Seri Alam, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Restu Mantap Sdn Bhd dan Dacing Kota Sdn Bhd masing-masing didenda RM330,000, RM250,000 dan RM230,000 oleh mahkamah yang sama setelah mengaku bersalah memajukan tanah tanpa kebenaran.