K'jaan digesa ubah beberapa dasar sekat kemajuan koperasi
Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya beberapa dasar yang dianggap menghalang koperasi memberi sumbangan lebih besar kepada ekonomi negara dapat diubah.
Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata antara dasar yang sudah tidak sesuai pada masa kini termasuklah pengecualian koperasi daripada menikmati insentif kerajaan yang diberi kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana.
Beliau berkata dasar berkenaan menyekat koperasi untuk terlibat dalam perniagaan berskala lebih besar berikutan kekurangan modal.
Susulan daripada dasar berkenaan, koperasi terpaksa bergantung kepada peruntukan tabung modal pusingan yang hanya berjumlah RM100 juta sahaja bagi 2016, katanya kepada pemberita di Langkawi hari ini.
Terdahulu, beliau menutup kursus wajib anggota Lembaga Pengarah Gabungan Koperasi Mubarak Malaysia Berhad, koperasi yang diwujudkan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak).
Abdul Fattah juga meminta supaya dasar tidak membenarkan individu menganggotai lebih daripada lima syarikat koperasi sebagai anggota lembaga pengarah dipinda.
Pendekatan berkenaan membataskan mereka yang berpengalaman untuk menyumbang kemahiran perniagaan bagi kemajuan koperasi, katanya.
Beliau berkata perubahan dasar berkaitan koperasi amat diperlukan memandangkan sektor itu mampu lebih berdaya maju jika diberi lebih banyak peluang dan perhatian oleh kerajaan.
"Kita mahu koperasi terlibat dalam perniagaan berimpak tinggi. Kita juga mahu menjadikan koperasi sebagai satu instrumen dalam usaha mengagihkan kekayaan negara secara lebih adil," katanya.
Beliau berkata dengan jumlah organisasi melebihi 13,000 dan lapan juta anggota, koperasi juga mampu mempengaruhi pasaran jika diberi peluang.
"Tahun lepas perolehan (keseluruhan) koperasi adalah kira-kira RM33.5 bilion dan angka ini hanya mewakili kira-kira tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, namun koperasi berpotensi untuk meningkatkan lagi sumbangan ini," katanya.
- Bernama

