Terjemahan Akhbar News Straits Times (NST) dan ketua pengarangnya Datuk Kalimullah Hassan menjadi sasaran ahli-ahli Dewan Rakyat hari ini yang mempersoalkan profesionalisme dan etika kerjanya.

Penyokong kerajaan dan ahli Parlimen pembangkang mengambil masa dua jam untuk berbahas mengenai profesionalisme dalam media, dengan hujah-hujah mereka tertumpu kepada NST dan ketua pengarangnya, selepas perkara itu dibangkitkan oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Shahrir Abdul Samad (BN-Johor Bahru).

Ketika membahaskan Rang Undang-undang Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2005 bagi gaji dan elaun ahli Parlimen, Shahrir berkata beliau merasa jengkel dengan satu laporan berita dan komentar yang disiarkan oleh NST baru-baru ini.

Katanya laporan yang bertajuk 'Humiliated MPs attack NST-DAP's Kit Siang leads with supports from BN members' membuat beliau merasa sangat sedih dan kecewa.

"Siapa yang berkata Ahli Parlimen telah dimalukan?", soalnya sambil menambah perkataan bahawa perkataan " rampage" yang digunakan dalam artikel itu untuk menceritakan kejadian tersebut juga tidak betul kerana makna lain bagi perkataan itu ialah "amuk".

"Apakah objektif menggunakan perkataan seumpama itu? Adakah ianya idea penulisnya atau pihak NST?," tanya Shahrir yang kelihatan berang.

Pengarang ditegur

Beliau juga mempersoalkan profesionalisme Kalimullah apabila menulis yang ahli-ahli Parlimen BN terbabit dalam 'konspirasi' dengan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang untuk menghentam akhbar tersebut.

"Saya mahu menasihatkan Kalimullah... kalau hendak menulis mengenai sesuatu kejadian, sila datang dan lihat sendiri sama ada ia benar-benar berlaku. Tetapi dia (Kalimullah) tidak berada di mesyuarat tersebut," katanya merujuk kepada satu komentar dalam NST yang memetik Shahrir mengkritik NST dan pengarangnya kerana didakwa menyiarkan laporan tidak betul di mesyuarat pra-Majlis BN.

Shahrir menjelaskan bahawa semasa mesyuarat tersebut, beliau telah bertanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengapa NST membangkitkan sentimen awam terhadap ahli-ahli Parlimen.

"Kalimullah tidak sepatutnya menulis bahawa wujud konspirasi dengan ketua pembangkang untuk menghentam NST," katanya.

Kemudiannya, dalam nada yang menyindir, beliau mempersoalkan kredibiliti Kalimullah sebagai ketua pengarang, dengan bertanya 'siapa yang memilihnya sebagai ketua editor...adakah dia menjalani temuduga?"

Shahrir berkata, sebagai seorang ahli politik dan ahli Parlimen, beliau menyedari kesukaran tugas wartawan tetapi katanya, ia tidak bermakna wartawan boleh menulis kerana "kepentingan tertentu".

Di mana professionalisme?

Apabila Teresa Kok (DAP-Seputeh) bertanya sama ada isu itu dimainkan bertujuan untuk menaikkan semula jualan akhbar NST yang kini merosot, Shahrir berkata di sebelah pihak, mereka berkata ahli Parlimen tidak relevan, tetapi di sebelah pihak lagi, "mereka suka menulis mengenai kita."

"Wartawan tidak perlu mengangkat sumpah, mereka boleh menulis apa sahaja yang mereka mahu. Tetapi jangan jadikan MP sebagai alat untuk mencapai motif lain," katanya.

Ketika ditanya oleh Dr James Dawos Mamit (BN - Mambong) sama ada wartawan, terutama mereka dari NST telah mematuhi kod etika profesional, Shahrir berkata walaupun pentadbiran sekarang lebih terbuka, tetapi ianya tidak boleh diambil ringan.

Ketua Pembangkang dijangka meneruskan perbahasannya mengenai perkara itu esok.