Terjemahan Polis Malaysia telah menahan dua rakyat Amerika Syarikat yang didakwa mengedar risalah-risalah mengenai agama Kristian kepada orang Islam.

Kedua-duanya ditahan pada hari Isnin dan mahkamah telah membenarkan mereka ditahan reman selama 14 hari untuk membantu siasatan, kata jurucakap polis kepada AFP .

"Kita mahu menyiasat sama ada mereka telah melanggar sebarang peraturan di Malaysia," katanya.

Adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana pihak menyebarkan agama lain kepada orang Islam yang merupakan penduduk teramai di Malaysia.

Seorang lagi pegawai polis memberitahu, kedua-dua rakyat Amerika itu dikenali sebagai Ricky Ruperd berumur dalam lingkungan 30-an dan Zachry Harris, 20-an.

Menurut agensi rasmi Bernama, mereka ditahan ketika mengedarkan risalah tersebut di pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya.

Ketua Polis Putrajaya, Mohamad Khalil Kadir Mohamad berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan sewaktu pihak polis membuat pemeriksaan rutin dan mendapati mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan.

Tidak maklumat terperinci

Sementara itu, jurucakap Kedutaan Amerika mengesahkan penahanan tersebut, tetapi enggan memberi sebarang maklumat terperinci.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan tidak akan mengharamkan kitab Injil dalam bahasa Melayu, tetapi mesti dicop "Bukan Untuk Orang Islam".

Beliau menyatakan demikian ketika ditanya mengenai kenyataan seorang menteri di Dewan Rakyat bahawa edisi kitab Injil dalam bahasa Melayu tidak dibenar diedarkan kerana ia boleh dianggap sebagai cuba menyebarkan Kristian di kalangan orang Islam.

Kira-kira 60 peratus rakyat Malaysia beragama Islam manakala yang lainnya terdiri daripada kaum Cina dan India yang menganut agama Kristian, Buddha dan Hindu.