MB Kedah arah semua exco, Adun dan pegawai k'jaan periksa kesihatan
Menteri Besar Datuk Seri Syed Razak Syed Zain mengarahkan semua Ahli Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan pegawai tadbir negeri (KCS) Kedah supaya menjalani pemeriksaan kesihatan terperinci yang kosnya ditanggung kerajaan negeri.
Menteri Besar Datuk Seri Syed Razak Syed Zain mengarahkan semua Ahli Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan pegawai tadbir negeri (KCS) Kedah supaya menjalani pemeriksaan kesihatan terperinci yang kosnya ditanggung kerajaan negeri.
Beliau berkata, pengalamannya diserang tekanan darah tinggi dan kandungan gula berlebihan dalam darah menimbulkan kesedaran kepadanya tentang kepentingan menjaga kesihatan diri di samping mengawal pengambilan makanan mengikut kesesuaian tahap kesihatan diri.
"Saya mahu semua pegawai di bawah saya sentiasa sihat dan mampu menjana kekuatan jentera kerajaan negeri ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di kediaman rasmi Menteri Besar di Mentaloon, di Alor Star hari ini.
Menurut laporan Bernama , Syed Razak mencadangkan supaya pemeriksaan kesihatan itu dijalankan setiap enam bulan sekali.
Katanya, pegawai kerajaan adalah jentera yang bertanggungjawab menguruskan kelicinan pentadbiran kerajaan, justeru kesihatan mereka amat penting bagi memastikan segala-galanya berjalan lancar.
Semakin sihat
Beliau berkata, sebuah hospital panel khas akan dipilih dalam mesyuarat Exco akan datang dan semua yang terlibat akan diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital berkenaan.
Ketika ditanya mengenai tahap kesihatannya, Syed Razak berkata beliau kini semakin pulih dan lebih sihat berbanding sebelum dimasukkan ke hospital pada 6 April lalu.
"Dulu semasa saya rasa sihat, boleh main badminton dan buat kerja macam-macam, saya tidak tahu yang saya mempunyai masalah kesihatan. Tetapi setelah dirawat dan keluar dari hospital, saya kini tidak lagi menghadapi masalah kesihatan," katanya.
Syed Razak berkata, beliau kini hanya menjalani rawatan fisioterapi di kediaman rasminya tetapi masih menjalankan tugas-tugas rasmi sebagai Menteri Besar.
Mengenai saranan banyak pihak supaya beliau bercuti, Menteri Besar berkata beliau akan memikirkannya dalam masa dua tiga hari lagi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.