Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lawatan Najib ke Jerman turut bincang isu pengganas

Lawatan sulung Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Jerman bermula esok, akan memberi tumpuan terhadap pelbagai
perkara selain isu dua hala, kata Duta Jerman ke Malaysia Holger Michael.

Beliau berkata lawatan itu akan menjadi satu peluang yang baik bagi
membincangkan hal-hal kepentingan bersama dalam bidang keselamatan serantau, jenayah antarabangsa dan keganasan memandangkan Jerman dan Malaysia berdepan ancaman berkaitan keganasan, misalnya, daripada Daesh.

"Sebagai permulaan, kita boleh berkongsi pengalaman dan maklumat
masing-masing dalam bidang deradikalisasi dan pencegahan (ancaman Daesh) dan mungkin kerjasama kemudiannya," kata beliau ketika ditanya sama ada kedua-dua negara akan mengkaji untuk mengadakan pakatan pencegahan keganasan.

Beliau berkata perbincangan sedemikian penting bukan sahaja di platform antarabangsa tetapi juga dalam bidang dua hala memandangkan ancaman berkaitan keganasan bukan sahaja terhad kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan keselamatan tetapi juga merupakan satu faktor risiko utama terhadap perkembangan ekonomi.

Michael berkata demikian kepada Bernama dalam satu temu bual menjelang lawatan sulung Najib ke Berlin, ibu negara Jerman, dan bandar pelabuhan Wismar, selama tiga hari, bermula 26 Sept.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, melawat ekonomi terbesar di
Eropah itu, atas jemputan Canselornya, Angela Merkel.

Selain pertemuan dua hala dengan Merkel, perdana menteri juga dijadual
mengadakan sesi dialog dengan pemimpin-pemimpin perniagaan Jerman serta mengadakan kunjungan hormat terhadap Profesor Norbert Lammert, Presiden Bundestag.

Lawatan itu dijangka mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara, bukan sahaja dalam perdagangan dan pelaburan tetapi juga pendidikan, katanya.

"Penglibatan Jerman dalam bidang pendidikan dan latihan vokasional telah lama. Kami mempunyai kira-kira 100 perkongsian dengan universiti-universiti di Malaysia," kata beliau.

Beliau berkata terdapat juga program ijazah berkembar antara universiti
Jerman dan pada masa ini, kira-kira 1,000 penuntut Malaysia sedang menuntut di Jerman.

Antara kejayaan penglibatan Jerman dalam pendidikan ialah Jerman-Malaysia Institute (GMI), hab latihan kemahiran lanjutan yang ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 1991.

Beliau berkata pelajar GMI akan menghabiskan 60 hingga 70 peratus daripada program mereka dengan latihan di syarikat manakala pembelajaran di kelas hanya 30-40 peratus.

"Semasa di syarikat itu, mereka menjalani latihan praktikal. Jadi, selepas
tiga tahun menjalan kursus latihan khas, pelajar ini akan mahir dan
berpengalaman praktikal di syarikat-syarikat. Oleh itu, mereka akan diambil oleh pasaran serta-merta. Tidak perlu lagi syarikat melatih mereka bila mengambil mereka bekerja."

"Kita perlu (kedua-duanya) pendidikan dan latihan dalam usaha untuk menambah lebih banyak nilai kepada pengeluaran. Kualiti dan kemampanan proses pengeluaran menjadi kriteria bagi ekonomi moden yang akan bersaing di peringkat antarabangsa."

Mengenai pelaburan, beliau berkata beberapa syarikat Jerman telah melabur di negara ini sejak dulu lagi melibatkan bidang elektronik, pembinaan kereta, kimia dan yang terkini teknologi perubatan.

Syarikat Jerman yang sudah kukuh di sini sejak berdekad termasuk
Volkswagen, BMW, BASG, Osram, Mercedes, Audi, Deutsche Bank, Siemens AG, Bosch dan Infineon.

Michael berkata terdapat peningkatan kukuh dalam pelaburan Jerman di sini.

"Syarikat-syarikat Jerman adalah pelabur jangka panjang. Mereka menilai keputusan pelaburan mereka dengan berhati-hati dan mementingkan perspektif jangka panjang," katanya.

Mereka mahukan kepastian tentang ketekalan tadbir urus yang baik dan mereka bergantung kepada kedaulatan undang-undang, keadilan di mahkamah dan kebebasan institusi undang-undang, termasuk profesion undang-undang, katanya.

"Kami (juga) gembira melihat peningkatan dalam pelaburan syarikat-syarikat Malaysia di Jerman pada tahun-tahun kebelakangan ini. Kami mempunyai pelaburan syarikat pemprosesan minyak sawit dan juga satu lagi pelaburan besar dari Genting," katanya.

Genting Hong Kong Ltd mengambil alih tiga limbungan kapal di Wismar,
Warnemunde dan Stralsund di Jerman pada RM1.04 bilion pada 2015.
Pembelian daripada Nordic Yard, adalah untuk meningkatkan kehadiran Genting dalam industri dan berjaya sebagai antara pembina kapal layar mega terbaik.

Selain tarikan Jerman untuk pelaburan, pengambilalihan itu juga
mempamerkan kekuatan Jerman dalam pembinaan kapal, katanya.
Malaysia merupakan rakan dagangan kedua terbesar Jerman di ASEAN dengan jumlah perdagangan dua hala sebanyak 11.8 bilion euro (1 euro = RM4.60) Statistik Jerman menunjukkan import dari Malaysia pada 2015 ialah sebanyak 7 bilion euro, naik 13.8 peratus berbanding 2014.

Jerman mengimport barang elektronik, elektroteknikal dan teknologi kawalan, tekstil dan pakaian serta produk kimia.

Eksport Jerman ke Malaysia pada tahun 2015 sebanyak 4.8 bilion euro,
meningkat 0.4 peratus berbanding 2014.

Antara eksport itu ialah barangan elektronik, jentera, bahan kimia, kereta
dan komponen kereta dan produk elektroteknikal.

-Bernama

Lihat Komen
ADS