Kes demam kepialu di Kelantan terus bertambah hari ini dengan 311 pesakit dirawat di hospital seluruh negeri berbanding 302 orang semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Dr Lila P. Mohamad Meeran berkata daripada jumlah itu 95 adalah kes yang disahkan manakala bakinya adalah kes yang disyaki.

Menurut laporan Bernama , kes itu dilaporkan meningkat di daerah ini dan Tumpat, kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya operasi pemeriksaan kebersihan kini masih giat dijalankan di seluruh negeri terutama di pasar malam kerana tahap kebersihan tidak memuaskan.

Jabatan Kesihatan juga akan meningkatkan usaha pengklorinan di semua telaga di Kelantan bagi memastikan sumber air yang digunakan adalah bersih, katanya.

Beliau berkata setakat ini 683 telaga diklorinkan secara percuma dan mereka yang mahukan klorin itu boleh menghubungi pejabat kesihatan daerah.