Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Mayat seorang lelaki dan dua anaknya yang dipercayai dibunuh, dijumpai di dalam sebuah rumah sewa di tingkat dua Apartment Nova, Sri Sinar, Segambut , Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Polis Sentul ACP R. Munusamy berkata mayat Cheah Thing Soon, 34, serta anak perempuannya berusia tiga tahun dan anak lelakinya berumur tujuh bulan ditemukan di dua bilik di unit itu pada kira-kira 12 tengah hari tadi.

Beliau berkata sebelum itu, pihaknya menerima panggilan daripada isteri
mangsa yang terkejut menjumpai mayat mereka semasa mengunjungi pangsapuri itu.

Munusamy berkata siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan pada mangsa mahupun tompokan darah di unit itu namun, ketiga-tiga mayat itu dalam keadaan mula mereput.

"Mayat kedua-dua kanak-kanak itu ditemui dalam dua bekas simpan barang yang besar yang ditutup dengan plastik. Bapa mereka ditemui mati dalam keadaan terlentang di bilik tidur utama," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Munusamy berkata mangsa dan isterinya kini tinggal berasingan.
Menurutnya polis turut mengambil keterangan daripada isteri mangsa di
Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Beliau berkata siasatan mendapati mangsa dan isterinya mempunyai dua
orang lagi anak yang kini dijaga bapa mangsa.

Mayat ketiga-tiga beranak itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur 
untuk dibedah siasat.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Akta Kanun Keseksaan kerana
membunuh.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh dalam kenyataan malam ini berkata ketiga-tiga beranak itu dipercayai telah meninggal dunia lebih 48 jam berdasarkan keadaan mayat.

Mangsa yang dikenali sebagai Cheah Hing Soon, 34, dijumpai mati
terlentang di bilik tidur utama manakala anak perempuanya Cheah Kai Sze, 3, dan bayi lelaki berusia tujuh bulan, Cheah Kai Wen, ditemukan di dalam bilik kedua.

Hasil pemeriksaan polis di rumah itu tidak menjumpai sebarang senjata yang boleh dikaitkan dengan kes bunuh tiga beranak itu.

"Rumah itu mempunyai tiga bilik dan tiada kesan dipecah masuk namun, rumah itu tidak terurus," katanya.

Susulan itu, polis menahan isteri mangsa berusia 35 tahun untuk membantu siasatan, katanya.

Sementara itu, seorang jiran mangsa yang enggan dikenali, berkata
kali terakhir dia terserempak pasangan itu pada Sabtu lepas di rumah berkenaan.

"Saya tak dengar sebarang jeritan atau pergaduhan di antara mereka,"
katanya.
-Bernama

Lihat Komen
ADS