Terjemahan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan * [pembetulan] usul untuk membahaskan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia di Burma ditarik balik, berikutan bantahan kerajaan tentera negara ini yang menyifatkannya sebagai satu percubaan untuk "campurtangan" dalam halehwal dalamannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz memaklumkan demikian sewaktu menggulung Rang Undang-undang Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2005 bagi gaji dan elaun ahli Parlimen hari ini

Katanya, pihak kerajaan tidak mahu terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam pembentangan usul tersebut yang boleh dilihat sebagai 'campurtangan' dalam hal-ehwal dalaman Burma.

Bagaimanapun, katanya, ahli Parlimen boleh membangkit isu tersebut apabila membahaskan mana-mana rang undang-undang.

Zaid Ibrahim (BN-Kota Bahru), yang mengemukakan usul itu bulan lalu, kecewa dengan perkembangan tersebut.

Malah, katanya, Dewan Rakyat sebelum ini pernah membahaskan usul mengenai peristiwa berdarah di Tak Bai di Wilayah Thai dan ia juga boleh dianggap sebagai "mencampuri" urusan dalaman negara tersebut.

Isu Tak Bai

Pada 25 Oktober tahun lalu, 75 rakyat Islam Thai mati kerana sesak nafas sewaktu mereka ditahan dan dibawa beramai-ramai di dalam trak tentera. Peristiwa tersebut dikecam masyarakat dunia termasuk ahli Parlimen Malaysia.

Usul mengenai Burma itu dijadual dibahaskan esok. Bagaimanapun, ia telah ditangguhkan dengan alasan "banyak urusan penting kerajaan untuk dibincang di dewan".

Ketika mempertahankan keputusan kerajaan itu, Nazri berkata, usul untuk membahaskan isu Tak Bai tidak mempersoalkan kesahihan kerajaan dan lagi pula Tak Bai terletak berhampiran sempadan Malaysia.

"Isu Tak Bai mempunyai kesan secara langsung terhadap kita. Itulah sebab ia dibahaskan. Kita tidak mempersoalkan kesahihan kerajaan Thai," katanya.

Ketika menjawab soalan Jimmy Donald (BN-Sri Aman), Nazri berkata, kerajaan perlu menerima hakikat bahawa ia perlu berurusan dengan junta tentera di negara itu.

"Kita semua tahu yang kerajaan Burma mungkin tidak dipilih oleh rakyatnya. Tetapi suka atau tidak, kita perlu berurusan dengan mereka," katanya.


* Pembetulan: Kami telah dimaklumkan dan disahkan melalui catatan Hansard bahawa perdana menteri tidak mengarahkan supaya usul mengenai Burma ditarik balik, seperti laporan di atas.

Perdana menteri bagaimanapun telah mengarah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz supaya menarik diri daripada menyertai perbahasan kerana sebagai seorang menteri, penyertaannya boleh memberi gambaran yang kerajaan menyokong usul tersebut.

Mohd Nazri berkata, kerajaan bimbang ia akan dilihat oleh pihak Rangoon sebagai satu usaha kerajaan Malaysia untuk menjejaskan kerajaan Burma.

Beliau juga memberitahu Dewan Rakyat bahawa pendirian perdana menteri ialah ahli-ahli Parlimen bebas untuk membahas perkara itu. Bagaimanapun, ia tidak dibahaskan kerana sidang dewan terganggu dan ditangguhkan akibat kebocoran bumbung bangunan Parlimen sewaktu hujun lebat.

Kami memohon maaf atas kesilapan tersebut.