Sarawak mungkin mempunyai sebuah parti politik kaum Dayak yang baru tidak lama lagi.

Kumpulan yang mengusahakan inisiatif itu dikatakan telah mengadakan perjumpaan hujung minggu lalu di Kuching bagi membincangkan perkara berkaitan penubuhan, perlembagaan dan bakal barisan jawatankuasanya.

Menurut laporan Bernama , sumber memberitahu, mereka terdiri daripada golongan profesional Dayak dari sini, Kuching, Miri dan bandar lain dan sebilangan daripada mereka merupakan anggota Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang kini tidak lagi wujud.

PBDS, sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) pertama kali dibatalkan pendaftarannya pada 4 Disember 2002 selepas wujud krisis dalaman berikutan perebutan jawatan pucuk pimpinan.

Tetapi pembatalan pendaftaran parti berusia 21 tahun yang majoriti anggotanya orang Dayak itu ditarik semula pada 10 Mac 2003 menjelang pilihan raya umum ketika itu.

Pendaftaran PBDS sekali lagi dibatalkan pada 5 Disember 2003. Ini kerana walaupun telah diberikan masa sewajarnya oleh jawatankuasa BN yang dipertanggungjawabkan untuk membantu mereka mencapai penyelesaian secara baik, pemimpin yang bertelingkah masih gagal mencapai kata sepakat.

Sumber itu memberitahu Bernama bahawa parti baru itu mahu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh PBDS dengan kebanyakan orang Dayak masih setia dengan perjuangan parti itu.

Tidak terikat

"Ini terbukti apabila majoriti daripada anggaran 130,000 anggota masih tidak menyertai mana-mana parti lain," kata sumber itu.

Terdapat usaha oleh parti komponen yang lain termasuk parti BN negeri yang baru, Parti Rakyat Sarawak (cabang PBDS) untuk menyerapkan mereka tetapi mereka memilih untuk tidak terikat dengan mana-mana parti.

Mengenai presiden penaja, sumber itu berkata beberapa nama telah dicadangkan manakala parti itu mungkin akan dikenali sebagai Kongres Dayak Sarawak.

"Kumpulan itu merancang untuk ke pejabat Pendaftar Pertubuhan di Kuching dalam beberapa minggu lagi bagi menghantar permohonan," kata sumber itu.

Sementara itu, bulan lalu, bekas bendahari agung PBDS dan Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph Salang berkata beliau telah dihubungi berhubung perkara itu dan menasihatkan mereka agar tidak meneruskan hasrat menubuhkan parti itu.

Katanya beliau memberitahu kumpulan itu bahawa bukannya mudah untuk menubuhkan dan mengendalikan sebuah parti baru.

Salang merupakan seorang daripada lima bekas wakil rakyat PBDS yang masih tidak menyertai mana-mana parti walaupun mereka telah mengemukakan permohonan bersama untuk menyertai Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti tunggak BN negeri.