Jerebu semakin teruk, pelajar di Miri terpaksa sekolah petang
Terjemahan Sekolah-sekolah yang terjejas teruk oleh keadaan jerebu di utara Sarawak dibenarkan untuk memulakan sesi persekolahan di sebelah petang, kata Pengarah Pendidikan Negeri, Dr Adi Badiozaman Tuah.
Terjemahan Sekolah-sekolah yang terjejas teruk oleh keadaan jerebu di utara Sarawak dibenarkan untuk memulakan sesi persekolahan di sebelah petang, kata Pengarah Pendidikan Negeri, Dr Adi Badiozaman Tuah.
"Laporan dari Miri menunjukkan jerebu hanya berlaku di sebelah pagi, dan keadaan bertambah baik di sebelah petang. Oleh itu, saya mengarahkan sekolah-sekolah di Miri supaya memulakan kelas sebelah petang. Bagi sekolah yang mempunyai dua sesi, nampaknya tidak ada apa yang dapat kami lakukan," katanya kepada malaysiakini hari ini.
Menurut Adi, sekolah-sekolah juga dinasihatkan supaya menggunakan budibicara sendiri sama ada untuk melakukan aktiviti luar kelas atau sebaliknya.
Kawasan paling teruk dilanda jerebu terletak di kawasan antara Kuala Baram dan Tudan. Jerebu muncul setiap tahun di utara Sarawak.
Mengenai langkah-langkah yang diambil untuk melindungi kesihatan pelajar, Adi memberi jaminan pihaknya akan menyediakan bekalan topeng jerebu yang mencukupi untuk kegunaan pelajar.
Semalam, seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun dan pelajar lelaki berusia 19 tahun dikejarkan ke Hospital Miri kerana kesukaran bernafas.
Sekolah-sekolah yang paling teruk mengalami masalah jerebu ialah SK Tudan, SK and SMK Merbau dan SK Kuala Baram I and II, dengan jarak penglihatan pada waktu pagi dilaporkan hanya antara 50-100 meter.
Indek Pencemaran Udara di Miri telah diklasifikasikan sebagai tidak sihat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) manakala satelit Pentadbiran Atmosfera dan Samudera USA (NOAA 16) mengesan 60 kawasan kebakaran di Borneo, terutama di Sabah dan utara Sarawak.
Tiada cukup anggota
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Miri, Ose Muran berkata, semua usaha telah dilakukan untuk memadamkan kebakaran yang sebahagian besarnya berlaku di tanah milik persendirian.
Sehingga tengah malam tadi, kebakaran dikatakan semakin marak di sesetengah kawasan, kata Ose yang juga Residen Miri.
Manakala Jawatan Bomba dan Penyelamat dikatakan menghadapi masalah kekurangan kakitangan dan peralatan untuk memadam kebakaran yang merebak ke lebih 250 ekar.
Ketua jabatan tersebut di Miri, Awang Farbu Abdul Hamid berkata, pihaknya telah menggunakan kesemua kakitanganya termasuk mereka yang bertugas malam, untuk menghantar 60 anggotanya ke Kuala Baram dan 20 lagi ke kawasan Lambir.
"Tetapi kami memerlukansekurang-kurangnya 170 anggota untuk memadam kebakaran sebesar itu," katanya Awang Farbu.
Apa yang mengecewakan, katanya, ialah sesetengah syarikat besar yang memiliki kawasan terbabit tidak bersungguh-sungguh untuk membantu mengawal kebakaran itu daripada terus merebak.
JIMMY TEOH adalah wartawan sambilan malaysiakini di Sarawak.

