Harapan penduduk setinggan Kampung Sungai Udang, Segambut untuk mendapatkan rumah pangsa di Taman Cuepacs tipis apabila pemaju Megah Kepong Sdn Bhd mendakwa semua unit sudahpun dijual.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Sungai Udang, Mohamad Yaacob berkata, dalam rundingan Sabtu lalu pemaju bertegas rumah tersebut tidak boleh diberikan kepada penduduk Sungai Udang.

"Wakil Megah Kepong yang mahu dikenali sebagai Carol mendakwa sebanyak 280 unit telah dibahagikan kepada setinggan asal yang menetap di atas tapak rumah pangsa tersebut dibina," ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Bagimananapun, apabila wakil penduduk meminta senarai nama setinggan yang membeli rumah pangsa Taman Cuepacs, pemaju enggan memberinya dengan alasan ia `rahsia'.

Mohamad mendakwa, Ketua Pengarah Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Salleh Yusup yang juga hadir dalam perbincangan tersebut tidak dapat berbuat apaapa.

"Saya juga meminta senarai pembeli rumah tersebut dari DBKL, tetapi tidak berjaya kerana DBKL tidak memberikannya kepada bukan pembeli," katanya lagi.

Mohamad berkata, beliau tidak percaya 280 pembeli Taman Cuepacs itu adalah setinggan kerana setahunya ada beberapa puluh orang sahaja yang kebanyakannya adalah pendatang dari Indonesia.

Pakatan dengan pemaju

Sehubungan itu, Mohamad mendakwa DBKL mempunyai `pakatan' dengan pemaju dalam isu pembahagian rumah pangsa Taman Cuepacs tersebut.

Dalam perbincangan tersebut, Salleh meminta penduduk berpindah ke penempatan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu atau pun di Jalan Cochrane secepat mungkin.

Bagaimanapun, penduduk mengambil keputusan untuk menolak tawaran pemindahan tersebut dan tidak akan berpindah selagi tidak mendapat rumah kos rendah di Taman Cuepacs.

Isnin lalu, penduduk Kampung Sungai Udang berjaya memperolehi perintah daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menghalang DBKL daripada meroboh rumah.

Sebelum ini, DBKL bersetuju untuk menangguhkan operasi merobohkan rumah setinggan penduduk Kampung Sungai Udang, Segambut selepas mengadakan rundingan secara tertutup dengan beberapa pihak terbabit termasuk pemaju.

Salleh memberikan jaminan tersebut dalam perjumpaan dengan wakil penduduk terbabit, Mohamad Yaacob; Setiausaha Politik Menteri Kewangan 1, Reezal Merican Naina Merican; Ketua Umno Bahagian Segambut, Datuk Kamaruddin Ambok dan wakil Ahli Parlimen Segambut, Teng Shee Kin, di DBKL hari ini.

Penduduk berkeras mahukan rumah kos rendah di Taman Cuepacs sebagai syarat berpindah sedangkan DBKL mahu mereka menyewa di PPR Jinjang dengan RM124 sebulan.