Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes bunuh Kevin Morais: Hakim akan putuskan segera keterangan bercanggah saksi
Diterbitkan:  Sep 29, 2016 4:58 PM
Dikemaskini: 9:00 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan membuat keputusan segera berhubung kebolehpercayaan keterangan pemilik kenderaan pacuan empat roda yang digunakan untuk melanggar kereta Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais, yang bercanggah dengan laporan polisnya.

"Saya akan memutuskan esok atau pada hari lain keputusan ini," kata Hakim Datuk Azman Abdullah pada prosiding perbicaraan kes bunuh Kevin Morais yang masuk hari ke-27 hari ini.

Beliau memutuskan demikian selepas mahkamah mendengar keterangan Pegawai Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, Kedah, Insp M. Vasu, saksi pendakwaan ke-36 yang dipanggil semula memberi keterangan, hari ini.

Semalam Hakim Azman memutuskan keterangan saksi itu, S. Yogeswari, seorang tukang jahit yang juga pemilik pacuan empat roda Mitsubishi Triton itu bercanggah dengan laporan polis yang dibuatnya.

Sebelum itu, hakim menyoal Vasu dengan merujuk keterangan Yogeswari dalam rakaman percakapannya yang direkodkan Vasu di Bilik Jenayah IPD Kulim, pada 6.30 petang, 27 September 2015.

Hakim Azman: Dalam keterangan semalam dan sebelum ini (di mahkamah), Yogeswari mengatakan dia beritahu awak kenderaan tersebut (pacuan empat roda Mitsubishi Triton) tiap-tiap malam (pada tarikh 2 Ogos 2015 hingga 11 September 2015) Selvam datang bawa kenderaan itu, simpan di rumah beliau tetapi awak tidak catat.

Kalau Yogeswari beritahu begitu pada awak, adakah awak pilih-pilih (kenyataan untuk ditulis) atau awak catat apa yang Yogeswari ceritakan pada awak?

Vasu: Saya catat semua yang disebutkan oleh Yogeswari. Saya catat apa yang dia sebut. Saya tak tambah atau menindakkan apa-apa percakapan yang diberikan.

Terdahulu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin, Vasu berkata, Yogeswari tidak ada memberitahunya mengenai kenderaan itu yang disimpan di rumahnya setiap malam pada tarikh tersebut.

Saksi itu menafikan bahawa Yogeswari ada memberitahunya mengenai perkara itu.

"Tiada langsung, tak disebut langsung, (kenyataan itu). Saya catat seperti mana Yogeswari menceritakan kepada saya," katanya yang memberitahu rakaman percakapan mengambil masa satu jam setengah.

Vasu berkata Yogeswari yang fasih berbahasa Melayu juga membaca laporan yang dicatatkan Vasu, memahami kandungan laporan dan menandatangani laporan itu tanpa mahu mengubah atau memindanya.

Sementara itu, Ahli Kimia Jabatan Kimia Malaysia Cawangan Perak, Khairul Anuar Abdul Aziz, 47, mengesahkan barang kes iaitu mesin pencanai yang ditemukan di Sungai Kuala Selangor, Km 46, Jalan Klang-Teluk Intan, pada 19 September tahun lepas boleh digunakan untuk melakukan kikisan pada enjin kenderaan.

"Ya, grinder (mesin pencanai) seperti ini boleh melakukan kikisan pada enjin," kata saksi pendakwaan ke-13 itu yang dipanggil semula untuk memberi keterangan pada hari ini.

Enam lelaki - G.Gunasekaran, 48, R.Dinishwaran, 24, A.K. Thinesh Kumar, 23, M.Vishwanath, 26, S.Nimalan, 23, dan S.Ravi Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No.1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Kolonel Dr R. Kunaseegaran, 53, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa sama.

Perbicaraan bersambung esok.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS