Kerajaan akan menggerakkan sistem pemantauan bekalan diesel di seluruh negara dengan pembukaan bilik gerakan yang beroperasi sehingga tengah malam setiap hari, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata , ini kerana kerajaan percaya punca kepada masalah kekurangan bekalan diesel sekarang adalah kerana sikap tamak pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan penyelewengan dalam penjualan bahan api itu.

Menurutnya lagi, pemantauan rapi itu, dengan pembukaan bilik gerakan di peringkat kementerian (Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) serta negeri-negeri, diharapkan dapat mengatasi masalah kekurangan bekalan dan mengekang kegiatan penyelewengan.

"Kerjasama erat juga akan dibuat antara agensi penguatkuasa kementerian itu dengan polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya mereka yang ambil kesempatan untuk menjual diesel kepada pihak yang tidak layak menerima subsidi, dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Najib berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyertai Upacara Pemakaian Pangkat serta Serah Terima Tugas Jawatan Panglima Tentera Laut di Kementerian Pertahanan di sini.

Najib mengulangi jaminan kerajaan bahawa bekalan diesel adalah mencukupi dan tindakan sedang diambil untuk memastikan bekalan itu dihantar secara berterusan ke semua stesen minyak.

Beliau berkata tiga ketetapan -- memperketatkan pemantauan, kerjasama dengan agensi penguatkuasaan dan jaminan bekalan diesel -- telah dibuat pada mesyuarat jawatankuasa khas mengenai subsidi petroleum yang dipengerusikan beliau pagi ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata setakat ini beliau berpuashati dengan langkah yang diambil oleh kementerian berkenaan termasuk dari segi penguatkuasaan serta sistem kuota bekalan diesel.

Katanya menteri berkenaan (Datuk Shafie Apdal) telah melaksanakan tugasnya dengan baik dan masalah ini lebih berpunca kepada perbezaan yang besar antara harga diesel di stesen minyak (88 sen seliter) dan industri (RM1.70 seliter) serta disebabkan terlalu banyak sindiket mengambil kesempatan dalam penjualan bahan api itu.

Rampasan diesel

Ketika ditanya tentang sistem kuota, Najib berkata: "Buat sementara ini sistem kuota (bekalan) akan diteruskan tetapi pihak kerajaan akan memantau jumlahnya kerana sistem kuota ini baik disebabkan ia dapat menjimatkan wang rakyat dalam jumlah yang besar."

Sementara itu, di Butterworth, polis Marin berjaya membongkar satu kegiatan penyelewengan dan penyeludupan diesel di Perak selepas mereka berjaya menahan enam lelaki dan merampas 246,863 liter bahan api itu dalam rondaan sekitar kawasan persisiran pantai negeri, sejak dua minggu lalu.

Ketua Polis Marin Wilayah Utara Sahadan Halus berkata hasil maklumat awam, sepasukan 12 anggota polis marin negeri Perak yang diketuai oleh DSP Mak Pak Chuai melancarkan satu operasi mengesan penyelewengan diesel pada 14 April lalu.

"Sehingga semalam, polis marin telah menahan enam lelaki tempatan berusia antara 30 dan 40 tahun, merampas sebuah lori tangki minyak, serta 246,863 liter diesel," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan pondok Polis Marin di Terminal Kargo Utara Butterworth.

Beliau berkata mereka dipercayai membeli diesel di stesen-stesen minyak secara beransur-ansur dan mengisinya dalam sebuah tangki minyak yang diubahsuaim dan menurutnya diesal itu dipercayai cuba dibawa untuk dijual ke negara luar.

Katanya polis menyerahkan siasatan kes itu kepada Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna untuk tindakan lanjut kerana kesalahan itu adalah dibawah Akta Perihal Dagangan dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sahadan berkata hasil siasatan juga mendapati salah satu punca kekurangan diesel dalam negara adalah disebabkan penyelewengan syarikat dan individu yang ingin mendapatkan keuntungan dengan cara yang menyalahi undang-undang.