Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengarah JKR Melaka didakwa rasuah, ubah wang haram lebih RM1.28 juta
Diterbitkan:  Sep 29, 2016 5:22 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Datuk Khalid Omar didakwa di Mahkamah Sesyen di Melaka hari ini atas 16 pertuduhan membabitkan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM1.28 juta.

Bagaimanapun, Khalid, 56, yang berpakaian kemeja-t berwarna hitam dan berseluar hitam, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu di hadapan hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Tertuduh menghadapi 13 pertuduhan rasuah menerima wang tunai berjumlah RM196,200 dengan nilai tertinggi RM41,200 di Batu Berendam dan pejabat JKR Melaka, Jalan Taming Sari, di Melaka, dalam tempoh antara Mac 2014 hingga Ogos tahun ini.

Daripada pertuduhan itu, lapan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lima lagi pertuduhan adalah mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Khalid turut menghadapi tiga pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram bernilai lebih RM1.08 juta, iaitu memiliki wang RM206,396.16 dalam akaun Amanah Saham Bumiputera 2; RM506,735.92 dalam akaun Tabung Haji dan wang tunai
RM375,200.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun atau boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib menawarkan wang jaminan RM500,000 bagi pertuduhan rasuah dan RM500,000 bagi pertuduhan pengubahan wang haram dengan seorang penjamin serta pasport diserah pihak mahkamah.

Peguam Azrul Zulkifli Stork, yang mewakili Khalid, memohon jaminan ditetapkan pada kadar minima kerana semua aset anak guamnya itu dibekukan dan tertuduh tidak pernah gagal hadir ke pejabat SPRM ketika siasatan dilakukan.

Meor Sulaiman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 bagi pertuduhan rasuah dan RM150,000 untuk pertuduhan pengubahan wang haram dengan seorang penjamin.

Beliau turut mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah serta tertuduh melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM Melaka.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 November depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar wang jaminan tersebut.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS