Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ibu Nur Sakinah dijadual berlepas ke Paris Ahad ini
Diterbitkan:  Sep 30, 2016 3:00 PM
Dikemaskini: 7:03 AM

Ibu kepada pelajar Malaysia yang hilang di Paris baru-baru ini memaklumkan beliau sudah berhubung secara terus dengan anaknya Nur Sakinah Naim, 19, melalui telefon dan WhatsApp.

Bagaimanapun Nur Halizah Ahmad, 43, berkata beliau masih belum mengetahui kejadian sebenar yang berlaku sehingga menyebabkan penuntut Universitaire de Technologie (IUT), Rouen, Normandy itu menghilangkan diri selama beberapa hari.

"Tak tahulah nak kata apa. Saya pun tidak jumpa dia lagi, jadi saya tak mahu tanya macam-macam takut dia tertekan. Dia cuma beritahu dia sihat," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Masjid, Tikam Batu dekat Sungai Petani hari ini.

Nur Shakinah Naim, 19, dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu dan kembali ke kediamannya di Paris semalam. Khabar gembira itu disampaikan wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang berkunjung ke rumah keluarga itu semalam.

Terdahulu Umno bahagian Sungai Petani yang diwakili Naibnya, Mohd Rodhi Rejab menyampaikan tiket penerbangan pergi-balik ke Perancis kepada Nur Halizah dan suaminya Naim Awang, 46, yang mereka dijadual berlepas ke Paris Ahad ini.

Mohd Rodhi berkata pembiayaan termasuk kos penginapan, makan dan minum yang ditaja sepenuhnya Ketua Umno Bahagian Sungai Petani, Datuk Abdul Rahim Saad yang akan turut mengiringi mereka ke Perancis.

Pasangan tersebut akan bertolak ke Kuala Lumpur esok sebelum menaiki penerbangan pada pukul 2.10 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijangka tiba di Paris pada 1.30 petang (waktu tempatan).

Sementara itu Naim berterima kasih atas bantuan yang dihulurkan sehingga membolehkan beliau dan isterinya bakal bertemu anak mereka di Paris dan seterusnya mengetahui lebih lanjut perkara yang menimpa anaknya.

"Sama ada kami akan membawa Nur Shakinah pulang bersama atau tidak, itu saya belum dapat membuat sebarang keputusan kerana kami perlu berbincang dulu.

"Saya memang mahu dia balik ke sini terlebih dahulu untuk tenangkan fikirannya," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS