Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bank Islam Malaysia Bhd memenangi dua anugerah daripada Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA) 2016, termasuk Anugerah Perbankan Borong Terbaik.

Ketua Pegawai Strateginya, Hizamuddin Jamalluddin dianugerahkan 'Personaliti Dalam Kewangan Islam (Kepemimpinan) 2016' untuk sumbangan luar biasa kepada bank tersebut.

Bank Islam dan tiga lagi institusi penting telah dipertimbangkan untuk kategori berkenaan dan keputusan itu berdasarkan beberapa faktor, termasuk dalam Metodologi GIFA.

Anugerah itu juga mengiktiraf usaha Pengarah Urusan bank berkenaan, Datuk Seri Zukri Samat, dalam merubah bank itu menjadi sebuah daripada penggiat penting dalam industri kewangan Islam.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin berkata, anugerah itu adalah peristiwa penting untuk bank tersebut dan satu lagi langkah dalam arah yang betul untuk menjadi penggiat penting serantau dalam merubah landskap kewangan Islam untuk menjadi lebih baik.

"Kami berbesar hati kerana kerja kami diiktiraf. Sebagai pemimpin global dalam perbankan Islam, kami telah mencapai kemajuan cemerlang ke arah aspirasi kami.

"Anugerah ini juga satu penghormatan kepada semua kakitangan Bank Islam untuk usaha berpasukan yang ditunjukkan serta komitmen berterusan mereka, di samping wawasan bersama bagi memastikan kami berada di landasan betul untuk mencapai matlamat kami," katanya kepada Bernama selepas majlis penyampaian anugerah itu di Jakarta, semalam.

Walaupun menghadapi persekitaran pasaran yang mencabar, Khairul berkata, Bank Islam terus meningkatkan pembiayaan dan deposit, terutama dalam portfolio akaun pelaburan, yang berkembang kepada RM3.3 bilion sehingga Jun 2016.

Bank itu juga telah menggerakkan perniagaannya ke dalam sektor teknologi hijau, menekankan sokongannya kepada inisiatif kerajaan dalam mempromosi projek teknologi hijau kerana ia memberi sumbangan besar kepada kemampanan ekonomi, sosial dan alam sekitar negara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS