Sah HARAPAN bawa SPR ke mahkamah
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengesahkan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan merujuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke mahkamah.
Langkah itu dibuat kerana gabungan pembangkang itu berpendapat cadangan pesempadanan semula pilihan raya oleh SPR dianggap tidak adil.
"Kerana itu, pada peringkat kerajaan Selangor, peringkat saya, ramai anggota parlimen - termasuk DAP - kita bukan saja bantah persempadanan, kita akan saman SPR," katanya disambut tepukan gemuruh hadirin yang menyertai sambutan ulang tahun pertama Parti Amanah Negara (AMANAH) peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur malam tadi.
SPR mencadangkan semua negeri - kecuali Sarawak - melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya menjelang pilihan raya umum ke-14 yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada 2018.
Secara keseluruhan 128 daripada 222 kawasan parlimen sedia ada akan terlibat dengan persempadanan semula itu.
Tiga negeri yang paling banyak mengalami perubahan ialah Johor (21 kawasan pilihan raya), Selangor (18) dan Perak (17).
Menurut Nurul Izzah yang juga anggota parlimen Lembah Pantai persempadanan semula itu - jika diterima nanti - akan menyaksikan BN memperoleh semula penguasaan dua pertiga di parlimen.
Katanya persempadanan semula itu juga menyaksikan beberapa pengundi di Lembah Pantai - termasuk Brickfields 0 dikeluarkan dari kawasan asal.
Tidak akan terkalahkan
Sebaliknya kata Nurul Izzah pengundi di Bukit Aman dimasukkan ke kawasannya.
"Ada yang berkata, jangan takut-takutkan rakyat (dengan persempadanan semula itu) tetapi pada saya rakyat memang patut takut.
"Kalau sekarang pun (Datuk Seri) Najib (Razak boleh) mengambil kuasa Yang di-Pertuan Agong (seperti didakwa pembangkang melalui Akta Majlis Keselamatan Negara), bayangkan mereka (BN) menang dua pertiga kerusi parlimen," katanya.
Justeru katanya sesiapa yang sudah bosan atau "geram" dengan kepimpinan sekarang perlu mendaftar untuk menjadi pengundi serta melakukan apa yang termampu untuk memproses, termasuk menyertai himpinan BERSIH 5 pada 19 November ini.
Rakyat kata Nurul Izzah tidak sepatutnya membuang masa dengan berasa sedih kerana individu yang sepatutnya berasa begitu ialah bapanya yang juga bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar kini menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh.
Walaupun begitu kata Nurul Izzah, Anwar tetap tidak lekang dengan senyuman setiap kali mereka menemuinya.
"Kenapa? Anda boleh memenjarakan seseorang tetapi selagi anda berjuang atas nama kebenaran, anda tak akan terkalahkan, insya-Allah," katanya.
Sementara itu anggota parlimen AMANAH Mohd Hatta Ramli mendakwa SPR menjadi alat kepada BN untuk menggagalkan pencapaian HARAPAN melalui persempadanan semula itu.
Katanya HARAPAN Wilayah Persekutuan tidak menunggu lama untuk mengambil keputusan membantah cadangan berkenaan kerana memberi kesan negatif kepada masyarakat dan terlalu mengikut pecahan kaum.
"Kita dalam HARAPAN Wilayah Persekutuan akan mengemukakan bantahan di semua kawasan di termasuk bagi Putrajaya.
"Kita tidak akan benarkan SRP mendapat jalan mudah untuk menjadi pak turut kepada BN," katanya.

