Pak Lah kata dasarnya tiada agenda politik atau mahu mencari populariti
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata dasar menggalakkan tadbir selia dan nilai-nilai etika yang baik serta usaha memerangi rasuah yang merupakan teraju utama dalam pentadbirannya tidak mempunyai sebarang agenda politik atau dilakukan untuk menjadikan beliau popular.
"Saya ingin menjelaskan bahawa keputusan ini tidak didorong oleh pertimbangan politik atau malahan populariti seperti yang dianggap sesetengah pihak.
"Sebaliknya ia berasaskan pertamanya terhadap satu kesedaran dan pemahaman kepada pemanduan ekonomi global, sistem politik dan sosial sekarang, dan keduanya tekad yang mendalam secara peribadi untuk melihat sebuah dunia di mana nilai-nilai murni merupakan asas kepada hubungan kita antara satu sama lain," kata Perdana Menteri.
Menurut laporan Bernama , beliau berkata demkian dalam ucaptamanya pada hari kedua dan terakhir Forum Etika dan Integriti Dunia 2005 di Institut Integriti Malaysia di sini hari ini.
Abdullah berkata keputusannya untuk memberi penekanan kepada kawal selia yang baik dan pencegahan rasuah adalah berkait rapat dengan keperluan untuk mengekalkan persaingan ekonomi Malaysia dalam menghadapi peningkatan tekanan global.
"Sebuah negara yang mempunyai tahap rasuah yang tinggi, sama ada ia satu hakikat atau tanggapan, menghadapi risiko untuk kehilangan pelaburan masa kini dan pada masa depan. Bagi sebuah ekonomi kecil seperti Malaysia, tanggapan bahawa rasuah atau ketidakcekapan merupakan sesuatu yang kita tidak patut hadapi," katanya.
Ini sebabnya beliau mahu melihat Malaysia membaiki kedudukannya dalam bancian rasuah antarabangsa seperti indeks anggapan rasuah oleh Transparency International, katanya.
Cabaran
"Untuk memperbaiki pencapaian dan kedudukan Malaysia merupakan satu cabaran kerana pada dasarnya perkara ini adalah berasaskan tanggapan. Apapun pentadbiran saya akan terus melakukan apa yang perlu untuk memastikan tangapan dan pendapat ini akan secara berterusan diperbaiki," tegas beliau.
Abdullah berkata kawal selia yang baik amat diperlukan dalam kepimpinan di semua peringkat dan beliau percaya tidak akan ada yang lebih memudaratkan di dunia berbanding kepimpinan yang tidak bermoral dan tidak berprinsip.
Beliau berkata perang menentang rasuah merupakan satu usaha yang panjang dan sukar, adakalanya tegang dengan cabaran dan rintangan dan sudah semestinya terlalu banyak pilihan dan keputusan rumit yang perlu dilakukan dalam melaluinya.
"Azam saya untuk meneruskan agenda membanteras rasuah tidak pernah goyah, walaupun untuk seketika. Mereka yang mendakwa melihat kekenduran dalam gerakan ke arah ini mungkin telah menyempitkan pandangan mereka terhadap aspek tertentu agenda pencegahan rasuah seperti penangkapan dan pensabitan seseorang."
Abdullah berkata ramai yang mencadangkan bahawa jumlah tangkapan dan pendakwaan yang lebih banyak akan meningkatkan tahap populariti beliau.
"Bagaimanapun saya mahu mengingatkan mereka yang ingin menasihatkan saya supaya melakukan tangkapan yang lebih banyak berkaitan rasuah ini supaya saya dapat dilihat melakukan sesuatu terhadap masalah rasuah bahawa pertamanya bukan saya tetapi Badan Pencegah Rasuah dan polis yang membuat tangkapan.
"Kedua, saya memegang kepada doktrin tidak bersalah sehingga terbukti bersalah. Ini bermakna setiap kes berkaitan rasuah yang diketengahkan hendaklah disokong dengan bukti yang kukuh dan mampu bertahan bila dipersoal di mahkamah undang-undang.
Ketidakadilan
Beliau berkata ada ketikanya apabila media cepat mengambil kesempatan daripada sifat ingin tahu dan tarikan orang ramai terhadap perkara sedemikian, telah menganggap sesorang itu bersalah dan membicarakan mereka dalam media.
Walaupun seseorang itu kemudian didapati tidak bersalah, reputasinya telahpun rosak dan ini merupakan satu tragedi dan ketidakadilan, katanya.
"Saya tidak percaya seseorang itu patut didakwa kerana rasuah atas dasar syak dan tangapan semata-mata. Bagaimana kuat sekalipun rasa syak dan tanggapan itu. Akhirnya hanya bukti dan fakta yang berkuasa," katanya.
Semasa diminta mengulas kenyataan Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew di forum itu semalam, bahawa kakitangan awam patut mendapat gaji yang lebih tinggi untuk mengelakkan kegiatan rasuah, Abdullah berkata ia tidak semestinya betul.
"Saya tidak percaya ini merupakan jawapan kepada rasuah. Jika seseoran gitu korup, dia akan sentiasa mengamalkan rasuah walaupun dia mempunyai berjuta dalam poket, kerana dia didorong oleh perasaan tamak, nilai-nilai tidak baik dan dia akan melakukannya...tidak kira apa. Jadi wang bukannya sesuatu yang boleh menghalang mereka daripada menjadi korup.
"Apa yang boleh menghalang mereka daripada mengamalkan rasuah ialah dengan memupuk dalam diri mereka nilai-nilai positif kejujuran dan tidak korup atas sebab-sebab yang kukuh," katanya.

