Pekerja ladang ditahan disyaki tetak rakan
Polis menahan seorang pekerja ladang disyaki menetak rakan setugas mereka hingga mati di Ladang Kurnialang Malbumi dekat Kinabatangan pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A Sahak Rahmat berkata lelaki warganegara Indonesia berusia 44 tahun itu ditahan tujuh jam selepas kejadian, apabila dia menyerah diri di pejabat pentadbiran ladang berkenaan.
Katanya ketika ditahan pada jam 3 petang, polis turut merampas sebilah parang daripada lelaki berkenaan yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
A Sahak berkata kejadian berlaku pada kira-kira 8 pagi di hadapan kawasa perumahan pekerja ladang apabila mangsa, Jumada Tahniah, 46, - juga warganegara Indonesia - datang ke arah suspek sambil mengancam untuk membunuh suspek dan keluarganya.
Ketika itu suspek bersama-sama isterinya serta anak mereka sedang mencabut ubi keledek, sebelum berlaku pertengkaran, katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut A Sahak, mangsa kemudian cuba menyerang suspek dengan sebilah parang, sebelum suspek bertindak menetak leher kiri mangsa menggunakan sebilah parang.
Beliau berkata suspek kemudiannya mengarahkan isteri dan anak-anaknya masuk ke rumah dan mengunci pintu, sebelum melarikan diri ke dalam blok kelapa sawit.
Suspek ditahan reman untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
- Bernama

