Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Daripada protes jalanan, lebih baik tubuhkan NCC ke-2'
Diterbitkan:  Oct 3, 2016 8:27 PM
Dikemaskini: 12:30 PM

Bekas menteri Umno, Tan Sri Rafidah Aziz berkata demonstrasi jalanan dan melontarkan kata-kata kesat tidak akan menyelesaikan masalah.

"Kita telah melalui suatu perjalanan yang panjang dari era sosial primat," kata Rafidah dalam akaun Facebook hari ini tanpa merujuk kepada sebarang perhimpunan.

Sebaliknya, beliau menyeru kepada rakyat Malaysia untuk menubuhkan majlis inklusif dan bukan politik, Majlis Perundingan Kebangsaan (NCC) kedua seperti yang dicadangkan oleh ahli perbankan terkemuka, Datuk Seri Nazir Razak minggu lepas.

"Kini adalah masa untuk menyatukan pemikiran kita semua...berbincang, berunding, berbahas, menasihati, memberi input positif, mencari jalan dan kaedah untuk memperbaiki keadaan.

"Kita perlu menubuhkan NCC kedua dan mulakan kerja-kerja secepat mungkin," cadang Rafidah.

Terdahulu, Nazir mengakui terdesak selepas mengulangi cadangan agar sebuah majlis perundingan kebangsaan (NCC) kedua ditubuhkan minggu lepas.

Di Instagram beliau, Nazir berkata portal berita The Malay Mail menggunakan gambar beliau 'dalam keadaan terdesak' berhubung seruan agar NCC ditubuhkan di bawah Majlis Raja-Raja.

Nazir, yang merupakan adik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, melahirkan harapan bahawa ideanya dipertimbangkan dengan serius.

Beliau berkata pemimpin masyarakat perlu berkumpul untuk menentukan semula dasar kebangsaan.

"Masalah dan ketegangan tidak boleh ditangani sedikit demi sedikit, ia perlu menyeluruh, dan keutamaan adalah generasi hari ini dan cabarannya.

"Saya tahu saya mengulanginya tetapi saya berasa terdesak," akuinya.

Ketua pegawai eksekutif kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes turut mengulas mengenai tulisan Nazir di Instagram.

"Sebahagian besar orang Malaysia bersikap sederhana, mereka cuma senyap.

"Masa tidak senyap. Saya gembira mengambil cuti untuk berada dalam NCC kedua. Di mana saya boleh menghantar biodata (CV) saya?" tulisnya.

Nazir terdahulu berkata terdapat keperluan "untuk membincangkan pelbagai isu sensitif bermula dari sistem pendidikan, dasar perlindungan, peranan agama di peringkat nasional, integriti persekutuan, isu-isu rasuah dan persaingan politik, serta membina semula kepercayaan terhadap institusi negara.

Beliau berkata sudah tiba masanya mempersoalkan sama ada kebanyakan sistem yang direka pada 1970 masih berfungsi dengan baik.

NCC pertama telah ditubuhkan pada 1970 selepas rusuhan pada 1969.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS