Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan cuba untuk menganjurkan satu perbincangan meja bulat mengenai cadangan persempadanan semula SPR dengan semua pihak berkepentingan dalam minggu depan susulan penyerahan memorandum oleh beberapa anggota Parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan Ahli Parlimen Kuala Krai Hatta Ramli hari ini melawat ibu pejabat Suhakam di Kuala Lumpur bagi menyerahkan memorandum yang meminta suruhanjaya itu menjalankan penilaian kesan hak asasi manusia ekoran cadangan persempadanan semula oleh SPR.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail telah bersetuju suruhanjaya itu akan menjalankan kajian mengenai perkara berkenaan secepat mungkin dan disusuli dengan prinsip-prinsip panduan untuk pertimbangan SPR, jelas pembantu kepada Santiago kepada Malaysiakini.

Dalam memorandum itu, ketiga-tiga anggota parlimen berkata, cadangan persempadanan semula SPR itu bertentangan dengan Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 2 (C) yang menyatakan bilangan pengundi di setiap kawasan perlu lebih kurang sama, kecuali dalam kes khas tertentu.

Mereka menyuarakan contoh tujuh kawasan parlimen bersaiz besar di Selangor - Gombak, Bangi, Subang, Petaling Jaya, Damansara, Klang dan Kota Raja - yang akan mempunyai lebih daripada 120,000 pengundi setiap satu.

Sebagai perbandingan, ujar mereka, terdapat empat kawasan di Selangor yang jauh lebih kecil iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang dan Kuala Selangor yang akan mempunyai kira-kira 60,000 pengundi atau kurang di bawah persempadanan semula.

Persempadanan semula itu juga bertentangan dengan prinsip 'satu orang, satu undi' seperti yang dinyatakan dalam Perkara 25 Konvensyen Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Sivil dan Politik, jelas Santiago, Nurul Izzah dan Hatta lagi.

[Baca berita penuh]