Msia: Hentikan kegilaan membangunkan senjata nuklear
Malaysia yang mewakili Pergerakan Negara-neara Berkecuali (NAM) menggesa supaya ditamatkan 'kegilaan' di kalangan negara-negara nuklear untuk terus membangun dan memodenkan peralatan nuklear mereka yang boleh mengancam dan keselamatan antarabangsa.
Malaysia yang mewakili Pergerakan Negara-neara Berkecuali (NAM) menggesa supaya ditamatkan 'kegilaan' di kalangan negara-negara nuklear untuk terus membangun dan memodenkan peralatan nuklear mereka yang boleh mengancam dan keselamatan antarabangsa.
"Kita semua perlu menggesa supaya ditamatkan kegilaan ini dan berusaha ke arah penghapusan dan larangan semua bentuk senjata nuklear dan ujian terhadapnya serta menolak doktrin pencegahan," kata Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar. Teks ucapannya dihantar kepada Bernama .
Berucap di debat umum Persidangan Semakan 2005 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi pihak NAM, Isnin lalu, beliau berkata, dalam tempoh lima tahun lalu"banyak yang berlaku" sehingga melahirkan kebimbangan mengenai senjata pemusnah besar-besaran, khususnya senjata nuklear.
"Kita semua bimbang mengenai keganasan nuklear. Kita bimbang mengenai kemungkinan individu atau kumpulan dari negara bukan nuklear memperolehi bahan letupan nuklear dan menggunakannya untuk aktiviti keganasan.
"Kita semua akan terus dihantui mimpi ngeri selagi wujud senjata nuklear, dan manusia sejagat telah menggesa penghapusannya secara menyeluruh.
"Persidangan Semakan NPT wajar mengambil kira kebimbangan kita, meredakan ketakutan kita dan mengurangkan mimpi ngeri kita," katanya.
Akibatnya, tambah beliau, Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear kini berada di persimpangan dan masa depannya juga tidak pasti, kerana hari ini, penekanan ialah terhadap pengawalan dan bukannya perlucutan senjata bagi tujuan baik.
Pelucutan senjata global
"Kompromi bersejarah yang dicapai 37 tahun lalu antara negara-negara senjata nuklear dan negara-negara bukan senjata nuklear berhubung pelucutan senjata, pengawalan dan penggunaan secara aman teknologi nuklear terus tidak dipenuhi,"katanya.
Menurutnya, ketiadaan keseimbangan dalam pelaksanaan NPT telah mengancam untuk merungkai regim NPT, yang menjadi komponen kritikal rangka kerja pelucutan senjata global.
Berikutan itu, beliau menggesa negara-negara senjata nuklear dan negara bukan senjata nuklear supaya memperakui pentingnya pelaksanaan sepenuhnya dan bukan berpilih-pilih NPT dalam pelucutan senjata nuklear, pengawalan dan penggunaan teknologi nuklear secara aman, yang dianggap tiga tunggak Perjanjian itu.
"Untuk mencegah peningkatan senjata nuklear, negara-negara mesti bersedia untuk menerima penghapusan secara menyeluruh senjata nuklear yang merupakan satu-satunya jaminan terhadap penggunaan atau ancaman penggunaan senjata nuklear.
"Sementara menunggu penghapusan senjata nuklear secara menyeluruh, usaha memasukkan peruntukan undang-undang yang universal dan tanpa syarat bagi menjamin keselamatan terhadap negara-negara bukan nuklear, perlu diberikan keutamaan," katanya.
NAM, kata Syed Hamid, sekali lagi menegaskan hak negara-negara anggota NPT untuk terlibat dalam penyelidikan, pengeluaran dan penggunaan teknologi nuklear bagi tujuan aman tanpa diskriminasi.
"Perpindahan teknologi nuklear secara bebas, tanpa halangan dan tiada diskriminasi bagi tujuan aman perlu dipastikan. Tiada apa dalam Perjanjian itu patut ditafsirkan sebagai menjejaskan hak itu," katanya.

