Terjemahan Lima anggota militan Thai yang ditahan di Stesen Sentral Kuala Lumpur Mac lalu, masih ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia dan belum dihantar pulang ke Thailand sepertimana yang dilaporkan.

Menurut Majalah mingguan Time , mereka yang ditahan pada 9 Mac lalu itu, datang ke Malaysia untuk mengambil simpanan senjata yang disembunyikan oleh Jemaah Islamiah (JI), kumpulan militan yang dituduh bertanggungjawab terhadap kejadian pengeboman Bali pada 2002.

Majalah Time terbitan 9 Mei, memetik para penganalisa sebagai berkata 'kaitan' tersebut menimbul kebimbangan kerana ia mungkin meningkatkan lagi keganasan di wilayah Thai berikutan ketegangan hubungan antara kerajaan Thailand dan anggota militan Islam, yang telah mengorban lebih 600 orang sejak awal 2004.

Kelima-lima anggota militan Thai itu ditahan dalam satu operasi oleh anggota keselamatan di Stesen Sentral.

Dua minggu selepas penangkapan mereka, agensi berita Reuters yang memetik sumber-sumber perisikan, melaporkan bahawa pihak berkuasa telah menyerahkan mereka kepada pihak keselamatan Thailand.

Bagaimanapun, pegawai kanan kerajaan dan polis, menafikan mengetahui apa-apa mengenai penangkapan mereka.

Majalah Time juga melaporkan bahawa polis Malaysia berulangkali enggan mengesahkan penangkapan tersebut, dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Fauzi Shaari, juga tidak menjawab untuk diwawancara mengenai isu tersebut.

"Tetapi sumber-sumber keselamatan Malaysia dan seorang pegawai perisikan serantau, memberitahu Time yang kelima-lima anggota pemisah itu yang masih disoalsiasat di Malaysia terpaksa mendapatkan bekalan senjata tersebut kerana sukar mendapatkannya di sana kerana kawalan keselamatan yang ketat di selatan Thai.

Laluan senjata

Pakar keganasan, Sidney Jones dari KumpulanKrisis Antarabangsa memberitahu majalah Time bahawa pendedahan tersebut "konsisten dengan apa yang kita tahu dari anggota JI yang ditangkap.

"Mereka membawa senjata dari wilayah Thai, melalui Malaysia dan ke Indonesia pada tahun 2000 dengan kerjasama (puak pemisah) Thai."

Bagaimanapun, Jones mengingatkan bahawa ini tidak semestinya bermakna pihak JI yang dipercayai mempunyai kaitan dengan al-Qaeda mewujudkan hubungan baru dengan anggota pemisah Thai.

"Kkemungkinan itu ada," katanya, "tetapi kita memerlukan maklumat lanjut sebelum boleh membuat kesimpulan tersebut."