Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana anggotanya yang didapati terlibat atau bersekongkol sehingga menyebabkan pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya membolosi perairan negeri ini.

Sambil menegaskan perkara itu, beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap apa juga pelanggaran integriti atau salah laku membabitkan mana-mana anggotanya, terutamanya perkara yang melibatkan kedaulatan negara.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan pembabitan 'orang dalam', menerusi video yang tersebar luas baru-baru ini yang mendakwa warga Indonesia dikatakan mudah memasuki Tawau dan mendarat di Batu-Batu dengan hanya membayar RM50 hingga RM100 kepada anggota penguatkuasa.

"Saya tidak nafikan ada pembabitan 'orang dalam' berhubung kes tersebut... namun bagi peluang untuk pihak polis menjalankan siasatan secara terperinci," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Latihan Rapid Team Siri 2/2016 di Kota Kinabalu hari ini.

Mengulas lanjut mengenai penyebaran video berkenaan, Abdul Rashid berkata Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus telah mengadakan perbincangan dengan pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

"Saya juga telah mengadakan perbincangan dengan pihak Esscom dan kita melihat perkara itu dengan serius. Apa yang dilaporkan dalam video itu tidak semuanya betul... mana dakwaan yang didapati betul, akan diambil tindakan secara agresif agar ia tidak berlaku lagi," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Latihan Rapid Team Siri 2/2016, Abdul Rashid berkata pelbagai ilmu pertempuran di bandar dapat dipelajari dan didedahkan kepada semua peserta terpilih.

"Seramai 40 peserta lain-lain pangkat dari pelbagai cawangan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah berhampiran telah menjalani latihan ini selama tiga minggu sejak 9 September lepas.

"Kebanyakan peserta yang dipilih terdiri daripada anggota yang bertugas di bahagian pejabat. Kita pilih mereka supaya mereka serba boleh dan saya lihat dalam latihan ini mereka (peserta) sama hebat dengan anggota yang bertugas di lapangan," katanya.

- Bernama