Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan meminta penjelasan dari Presiden Gerakan Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik mengenai cadangannya supaya sekolah kebangsaan dipisahkan daripada sebarang unsur keagamaan.

Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri berkata, Lim tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seumpama itu di media sebaliknya harus membincangkan sebarang masalah dalam semangat keluarga Barisan Nasional (BN) atau dalam kebinet.

"Saya akan meminta penjelasan Dr Lim mengenai apa yang sebenar dikatakannya itu yang menjadi tajuk besar dalam surat khabar hari ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap utama pada majlis pelancaran Seminar Islam Hadhari (Pengurusan Negara Islam) peringkat negeri di Jitra, hari ini.

Lim, yang juga Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi dipetik sebuah akhbar sebagai berkata bahawa cadangannya itu adalah bagi membolehkan lebih ramai ibu bapa pelajar bukan Melayu menghantar anak masing-masing ke sekolah berkenaan.

Abdullah berkata Lim sebelum ini ada sepintas lalu bertanya mengenai isu agama di sekolah kebangsaan kepadanya tetapi tiada apa-apa yang dibangkitkan.

Kaji cadangan Cuepacs

Mengenai permintaan Cuepacs supaya kakitangan kerajaan dibayar gaji 13 bulan, Perdana Menteri berkata buat masa ini beliau tidak dapat memberi jawapan khusus dan akan mengkaji isu itu secara keseluruhan serta terperinci.

"Kita sentiasa memainkan peranan yang prihatin terhadap rakyat, dan itu sahaja yang boleh saya katakan buat masa ini," katanya.

Abdullah juga berkata kerajaan tidak bercadang untuk mengenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri terhadap mereka yang terbabit dengan kegiatan menyeludup diesel.

Katanya undang-undang mengenai kesalahan itu sudah ada dan sesiapa yang melakukannya boleh dihadapkan ke mahkamah.

"Kita ada undang-undang atas kesalahan itu yang boleh membawa mereka ke mahkamah. Jadi tidak perlulah ISA," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dasar

pembelajaran dan pengajaran agama Islam di sekolah kebangsaan "tidak boleh dikaji semula" dan ianya bukanlah penghalang kepada usaha memperkasakan sekolah kebangsaan bagi menarik minat pelajar bukan Melayu.

"Pengajaran agama Islam merupakan soal dasar dan kita akan teruskan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Mekar ICT anjuran Puteri Umno di Kuala Lumpur.