Seorang daripada sembilan lelaki Australia, yang mencetuskan kemarahan kerana berseluar renang dengan corak bendera Malaysia, kini menggesa pengembara mengambil kira budaya setempat.

“Saya ingin menggesa semua rakyat Australia yang mengembara ke luar negara di masa depan mengambil kira perbezaan budaya dan sensitiviti negara lain,” kata eksekutif pengiklanan Nick Kelly sejurus selepas kembali ke negaranya.

Mahkamah Sesyen Sepang semalam melepaskan tanpa sabitan sembilan lelaki, termasuk Kelly, yang melakukan kesalahan itu ketika perlumbaan Grand Prix Malaysia di Sepang pada Ahad lalu.

Walaupun kelakuan itu mencemarkan Jalur Gemilang, hakim mengambil kira usia muda mereka, reman empat hari yang dilalui sertai keadaan mereka yang tidak sedar sensitiviti serta menginsafi perbuatan itu.

Turut dituduh, Jack Walker; Edward Leaney; Thomas Laslett; Thomas Whitworth; Brendan Stobs; Timothy Yates; James Paver dan Adam Pasfield, yang masing-masing berusia 25 hingga 29 tahun.

Semua mereka mengaku bersalah bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana mengganggu ketenteraman awam dengan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam yang membawa hukuman denda tidak lebih RM400.

Bagaimanapun, peguam tertuduh iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon hakim melepaskan tanpa sabitan mengikut Seksyen 173A (2) (a) Kanun Tatacara Jenayah.

Media Australia sebelum ini melaporkan bahawa semua lelaki itu sebenarnya melucutkan pakaian mereka kecuali seluar renang dan bukannya seluar dalam, selepas pemandu negara itu, Daniel Ricciardo memenangi Grand Prix Malaysia.

[Baca berita asal]