Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) menzahirkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid atas tindakan pantas beliau yang menamatkan kemelut negatif yang tiba-tiba menyerang ITBM apabila dituduh membawa agenda sulit pembangkang.

Dalam kenyataannya, ITBM berkata, ianya berkaitan penamatan kontrak khidmat Pengerusi Lembaga Pengarah ITBM, Datuk Dr. Shahruddin Md Salleh ekoran menyertai dan menerima pelantikan sebagai Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Sehubungan itu, ITBM menunggu arahan lanjut bagi tindakan susulan berdasarkan kuasa khas yang diperuntukkan Artikel 135(1) Syarikat ITBM kepada Menteri Pendidikan untuk mencadangkan pelantikan baharu bagi menggantikan Shahruddin, ujarnya.

ITBM (sebelum ini dikenal sebagai Institut Terjemahan Negara Malaysia) ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia pada 1993 untuk menyediakan prasarana bagi mewujudkan industri terjemahan di negara ini.

Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan, modal asas ITBM dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) manakala pentadbirannya diselia oleh Kementerian Pendidikan.

Mengulas lanjut, ITBM berkata, menyusul apa yang berlaku ini, pihaknya ingin menegaskan bahawa ITBM adalah sebuah badan yang komited melaksanakan tugas serta tanggungjawab kami sebagaimana yang diamanahkan oleh kerajaan Malaysia.

"Objektif serta matlamat ITBM jelas berpandukan kepada misi mengangkat serta mengantarabangsakan khazanah ilmu serta sastera negara, dan ia selama ini dilaksanakan dengan penuh jujur dan amanah.

"Justeru, kami sekali lagi menyatakan pendirian menolak sebarang usaha negatif yang dengan sengaja bertujuan merosakkan keampuhan sebuah organisasi yang komited melaksanakan tanggungjawabnya kepada negara.

"Sesungguhnya, hanya kepada negara tanggungjawab kami dan tanggungjawab kami hanya kepada negara," tambahnya.