Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'MP Tenom juga patut gesa SPRM siasat Najib, Rosmah'
Diterbitkan:  Oct 9, 2016 12:04 PM
Dikemaskini: 4:09 AM

Ahli Parlimen Tenom Datuk Raime Unggi patut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyiasat pemimpin Umno dan tidak terkecuali Datuk Seri Najib Razak berikutan beberapa tangkapan dan dakwaan rasuah.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata demikian susulan kenyataan Raime yang menggesa SPRM menyiasat Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berikutan kes rasuah melibatkan infrastruktur bernilai RM3 bilion di Sabah baru-baru ini.

"Saya hairan. Dari mana munculnya Raime ini? Adakah beliau berada di planet lain sebelum kelmarin?

"Kenapa beliau tidak muncul mendesak tindakan SPRM supaya menyiasat Datuk Seri Ahmaad Shabery Cheek dan Khairy Jamaluddin, yang merupakan mantan dan menteri bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS), ekoran rasuah dan penggelapan dana berjumlah RM138.5 juta melibatkan bekas pegawai KBS yang didakwa melakukan kesalahan terbabit antara 2012 dan 2015?

"Berasaskan kebijaksanaan Raime ini, mustahil bagi pegawai KBS tersebut mengumpulkan kekayaan yang begitu besar tanpa pengetahuan kedua-dua bosnya itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata, SPRM juga wajar menyiasat Menteri Wilayah Perseketuan, Tengku Adnan Mansor berikutan dakwaan rasuah seorang pegawai senior DBKL berpangkat Datuk Seri.

Pegawai berkenaan sebelum ini ditahan kerana disyaki mengumpul kekayaan berupa 31 unit kondominium dan pengubahan wang haram berjumlah RM10 juta.

"Kekayaan Ku Nan adalah jauh lebih perlu dipersoalkan memandangkan beliau mendakwa bahawa asetnya yang begitu banyak akan menarik minat penculik sekiranya diisytiharkan kepada umum," kata Lim.

Malah, katanya, Raime juga sepatutnya menggesa SPRM menyiasat anak tiri perdana menteri, Riza Aziz yang sebelum ini dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Lim mempersoalkan bagaimana Riza yang mempunyai pengalaman kerja sebagai pegawai junior bank selama kurang empat tahun dapat mengumpul kekayaan berjumlah US$238 juta dalam syarikat Red Granite, malah memiliki hartanah mewah di Amerika Syarikat berjumlah lebih AS$50 juta.

"Bukankah sepatutnya Raime dan juga ahli-ahli parlimen Barisan Nasional yang lain turut menggesa SPRM supaya menyiasat ibu dan bapa (tiri) Riza Aziz, tidak lain Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor," katanya.

[Berita penuh menyusul]

 

Lihat Komen
ADS