Hero bangsa? Bull**** kata Mah
Presiden Gerakan Mah Siew Keong hari ini mengecam tindakan pihak yang cuba mengancam perpaduan dan hubungan baik antara kaum di negara ini.
Tanpa berlapik anggota parlimen Teluk Intan itu berkata pihak terbabit cuba menjadi wira kepada sesuatu bangsa.
"Mereka menjadi apa dikatakan orang sebagai oo hood (slanga Hokkien membawa maksud jantan). Tapi pada saya ia bull****!" katanya disambut sorakan delegasi parti itu yang bersidang di Kuala Lumpur hari ini.
Gerakan mengadakan perhimpunan tahunannya dan untuk kali pertama perdana menteri tidak menghadirinya kerana terpaksa menghadiri majlis rasmi di luar negara.
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagaimanapun hadir sebagai wakil.
Mah yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut mengutuk kekecohan berlaku antara kumpulan baju merah dan penyokong BERSIH di Teluk Intan semalam.
Kata Mah polis perlu mengambil tindakan ke atas sesiapa saja yang mencetuskan masalah.
"Walaupun mereka sokong kita (BN), sesiapa yang buat kacau perlu dikenakan tindakan. Tak kira (dari parti) Gerakan, DAP, PAS (atau) Umno - siapa buat kacau mesti dikenakan tindakan," katanya.

