Khairy: Rangka pelan dasar martabatkan agenda Melayu
Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mencadangkan supaya pergerakan itu merangka satu pelan dasar untuk kembali memartabatkan agenda Melayu dalam proses pembangunan dan kemajuan ekonomi negara.
Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mencadangkan supaya pergerakan itu merangka satu pelan dasar untuk kembali memartabatkan agenda Melayu dalam proses pembangunan dan kemajuan ekonomi negara.
Pelan itu juga dicadangkan kepada kerajaan supaya diterimapakai dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), katanya pada perasmian mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Bahagian Putrajaya di sini malam ini.
Menurut laporan
Bernama,
beliau berkata, dengan pelaksanaan pelan dasar itu dalam RMK9, diharapkan peranan orang Melayu dalam memacu pembangunan ekonomi negara akan menjadi lebih signifikan, dan golongan itu tidak akan terus tercicir atau tersisih dari arus pembangunan.
"(Ini kerana) kita tidak mahu kemajuan ekonomi yang dicapai pada 2020 nanti, orang Melayu akan berkuasa hanya pada nama sahaja," katanya
Katanya, keputusan untuk merangka pelan dasar itu terbit daripada persoalan utama yang pergerakan itu fikirkan bagaimana untuk menjamin bahawa kepentingan perjuangan orang Melayu terus terpelihara.
Hak istimewa
"Pemuda Umno telah sebulat suara menyatakan persetujuan untuk terus memperjuangkan hak istimewa orang Melayu," katanya.
Khairy berkata, jika dilihat dari segi jumlah penyertaan dan pemilikan ekuiti ekonomi oleh kaum Melayu tidak banyak berubah sejak mulanya pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970 hingga sekarang.
"Sejak tahun 1990 pun apabila DEB diubah kepada Dasar Pembangunan Negara semua angka menunjukkan penyertaan orang Melayu dalam sektor ekonomi masih berkurangan termasuk dasar yang menetapkan pegangan 30 peratus ekuiti oleh golongan itu masih tidak berganjak," katanya.
Beliau berkata, hingga kini cadangan untuk melipat gandakan usaha merealisasikan saranan 30 peratus ekuiti orang Melayu dalam RMK9 itu telah mendapat sokongan ahli pergerakan itu dalam mesyuarat perwakilannya di semua bahagian Pemuda Umno yang beliau telah rasmikan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.