Kenyataan calon wanita 'muda, seksi' disalah tafsir
Pemimpin Gerakan Datuk Baljit Singh meminta maaf jika kenyataan dibuatnya mengenai wanita siang tadi mengguris perasaan sesiapa.
Kata Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Gerakan itu beliau tidak berniat merendah-rendahkan mana-mana wanita.
"Saya meminta maaf jika ada pihak yang terguris," katanya melalui kemas kini status di Facebook.
Dalam ucapannya di perhimpunan tahunan Gerakan di Kuala Lumpur Baljit menyarankan parti itu meletakkan "wanita muda dan seksi" sebagai calon berbanding lelaki lebih tua.
Bagaimanapun kenyataan Baljit itu dibuat merujuk kepada ahli seumur hidup Gerakan, Azmar Md Alias, yang menganggotai parti itu sejak 1985.
"Saya menyebut Kak Azmar sebagai calon yang muda, seksi dan sebagainya (dalam ucapan).
"Kepada sesiapa yang tidak mengenali beliau - terutama wartawan - dia adalah seorang nenek. Saya bercakap dengannya sebelum itu dan dia tak kisah (dengan kenyataan berkenaan)," katanya.
Berikut adalah petikan ucapan Baljit: "Jika anda mahukan kerusi yang 100 peratus akan kalah, mengapa letak calon yang berusia 70 tahun, seorang Cina yang berumus 70 tahun? OK 80 tahun.
"Mengapa tidak letak seorang wanita yang cantik, manis, bertenaga, seksi dan sanggup melakukan apa saja seperti Kak Azmar kita?"
Dalam status di Facebook Baljit juga menyatakan beliau mahu Gerakan menurunkan calon yang lebih muda daripada pelbagai kaum, serta lebih ramai wanita.
"Kepada mereka yang melatah menghakimi saya tanpa mengetahui keseluruhan cerita, saya tidak menyimpan perasaan benci kepada mereka. Saya berharap penjelasan ini akan merungkai sebarang salah faham," katanya.

