Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hashim Jasin mursyidul am baru PAS
Diterbitkan:  Oct 9, 2016 10:13 PM
Dikemaskini: Oct 10, 2016 3:03 AM

Bekas pesuruhjaya PAS Perlis Hashim Jasin dilantik sebagai mursyidul am parti itu menggantikan Allahyarham Datuk Dr Haron Din.

Keputusan itu dibuat melalui mesyuarat di Kuala Lumpur hari ini.

Harakahdaily melaporkan pelantikan Hashim itu dibuat sebulat suara oleh anggota mesyuarat.

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata mereka juga bersetuju sebulat suara mengekalkan Datuk Ahmad Yakob sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS.

Kata Nik Muhammad Zawawi, Ahmad yang juga menteri besar Kelantan dikekalkan dengan jawatan sedia ada disebabkan kesibukannya menjalankan tugas lain.

Semasa mesyuarat juga katanya Ahmad - yang dianggap juga mempunyai kelayakan sebagai mursyidul am - merayu kepada Majlis Syura supaya melantik tokoh lain mengisi jawatan tertinggi PAS itu.

"Kita pilih Tuan Guru Hashim Jasin kerana beliau paling tua dalam Majlis Syura.

"Selain itu, beliau mempunyai ilmu yang mantap, di samping pandangan politiknya yang jauh," katanya.

Hashim adalah seorang pemipin veteran PAS yang pernah menjadi ADUN Sanglang.

Beliau memenangi kerusi itu pada 2004 mengalahkan calon BN, Datuk Mustika Junaidah Husin dengan majoriti 45 undi.

Pada pilihan raya umum berikutnya Hashim sekali lagi menguasai kerusi berkenaan apabila mahkamah persekutuan membatalkan kemenangan calon BN, Abdullah Hassan.

Pada pilihan raya kecil parlimen Arau, Hashim membuat kejutan apabila memenangi kerusi itu yang dikuasai BN sejak ia diwujudkan pada 1974.

Wakil Parlimen Arau kini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Haron pernah menjadi pertaruhan PAS sebanyak tiga kali di situ, iaitu semasa pilihan raya umum 2004, 2008 dan 2013.

Lihat Komen
ADS