Seramai 63 juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) meninggalkan syarikat tersebut tahun lalu kerana ia tidak dapat memberi gaji dan imbuhan lumayan seperti yang ditawarkan syarikat penerbangan lain.

Bagaimanapun, menurut laporan Bernama , Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Douglas Uggah Embas berkata, perletakan jawatan juruterbang itu tidak menjejaskan operasi syarikat penerbangan nasional itu.

"MAS tidak dapat memberi gaji dan imbuhan lumayan seperti yang ditawarkan syarikat penerbangan lain," katanya ketika sesi soal jawab di sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau memberitahu demikian ketika menjawab soalan Senator Sharipah Aminah Syed Mohamed yang ingin tahu tindakan Kementerian Pengangkutan bagi mengatasi masalah terlalu ramai juruterbang MAS menyertai syarikat penerbangan lain, khususnya dari Asia Barat.

Menurut Unggah, MAS telah mengambil pelbagai langkah perlu untuk mengatasi kehilangan juruterbang, termasuk menawarkan kontrak perkhidmatan kepada juruterbang yang bersara pada usia 55 tahun kepada 60 tahun, bergantung kepada prestasi jurterbang berkenaan.

Juruterbang kadet

Beliau berkata MAS juga menawarkan kontrak kepada juruterbang dari negara serantau untuk berkhidmat dengan MAS dan mengambil serta melatih 200 juruterbang kadet.

"Bagi operasi pesawat B747, seramai 10 juruterbang dari syarikat penerbangan Garuda telah dipinjamkan kepada MAS," katanya.

Menjawab soalan Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir yang ingin tahu sama ada kelewatan penerbangan pesawat MAS berpunca daripada ketiadaan juruterbang, beliau berkata ia berlaku kerana beberapa sebab.

"Tetapi ia bukan kerana kekurangan juruterbang, walaupun seramai 63 orang juruterbang berhenti, tetapi ia tidak jejaskan operasi MAS," katanya.