Prinsip DAP sama, tidak anti-Islam
Pemuda DAP menganggap kenyataan dibuat Ketua Penerangan Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari amat dangkal apabila mendakwa part ini tidak berprinsip dan anti-Islam.
Kenyataan itu seolah-olah menunjukkan mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan PAS adalah musuh Islam.
Sejak sebelum pembentukan Pakatan Rakyat (PAKATAN) lagi DAP tidak bersetuju dengan cadangan pelaksanaan hukum hudud di Malaysia kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Pada masa sama, tidak adil untuk menghukum semua yang menentang perlaksanaan hudud sebagai sesat memandangkan dalam kalangan sarjana Islam sendiri memiliki pelbagai pandangan dalam hal berkenaan.
Pendirian DAP dalam isu hudud konsisten. Kami bersetuju ia merupakan antara persoalan besar dalam wacana Islam. Namun hudud haruslah dibahas dalam konteks masyarakat dan sistem politik di Malaysia bagi menjamin keadilan untuk semua pihak.
Pendirian DAP ini bukan baru, malah diterima PAS semasa dalam gabungan PAKATAN. Pada ketika itu, DAP dan PAS bekerjasama atas dasar yang dipersetujui bersama.
Semasa PAKATAN wujud DAP bertungkus-lumus untuk meraih sokongan daripada golongan bukan Muslim untuk PAS.
Kerjasama antara DAP dan PAS dalam PAKATAN pada masa itu nampak amat harmoni sehingga ada komuniti Cina dan India memakai baju atau topi dengan logo PAS.
Kami dihentam teruk oleh komponen BN, termasuk daripada Gerakan dan MCA kerana bekerjasama dengan PAS.
Dalam keadaan begitu kami terus menyokong PAS. Hasil persahabatan dan kerjasama politik antara PAS dan DAP membolehkan parti itu memenangi lebih banyak kerusi terutamanya di Selangor dengan sokongan pengundi bukan Islam.
Memanglah sokongan padu rakyat pelbagai kaum terhadap PAS bukan hasil promosi daripada DAP semata-mata, tetapi kesan manifesto PAKATAN, Buku Jingga, yang dibentangkan kepada umum menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13.
Bagaimanapun perlu difahami kandungan manifesto itu adalah dasar yang dipersetujui bersama oleh ketiga-tiga parti dalam PAKATAN.
Hasilnya PAKATAN mendapat sokongan rakyat yang memberi undi popular sehingga 52 peratus berbanding BN.
Apa yang penting, tiada satu baris pun mengenai pelaksanaan hudud di Malaysia dalam manifesto bersama tersebut.
Selepas PRU ke-13, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mula menunjukkan ketidakjujuran beliau dalam PAKATAN dengan tidak menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, dan membentangkan undang-undang hudud dengan sokongan Umno, di DUN Kelantan dan juga Parlimen.
Bagaimanakah kami dari DAP boleh berdepan dengan penyokong apabila PAS mengkhianati kepercayaan dan sokongan yang diberikan khususnya daripada penyokong bukan Islam selepas kami meyakinkan mereka yang PAS tidak akan melaksanakan hudud?
Oleh itu, sebelum PAS mula menghentam DAP atau parti lain mengenai prinsip, tolong cerminkan diri sendiri.
PAS patut ingat, jika seseorang tidak menyokong cadangan atau dasar mereka, tidak bermakna seseorang itu anti-Islam.
Sikap kafir mengkafir dan mengutuk orang lain atas nama Islam tidak akan memberikan sebarang manfaat politik kepada sesiapa dan hanya akan membawa keburukan kepada imej Islam.
MUHAMMAD SHAKIR AMEER kini setiausaha eksekutif Pemuda DAP Malaysia

