Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
3 senator angkat sumpah bagi penggal ke-2
Diterbitkan:  Oct 10, 2016 2:26 PM
Dikemaskini: 6:31 AM

Ketua Umno Bahagian Batu Datuk Yahaya Mat Ghani antara tiga individu yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Senator bagi penggal kedua hari ini.

Dua yang lain ialah Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, 47, dan Timbalan Ketua Umno bahagian Putrajaya Datuk Seri Khairudin ES Abd Samad, 62.

Ketiga-tiga mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk S A Vigneswaran di Bangunan Parlimen.

Ketika ditemui pemberita, Yahaya, 58, berasal dari Pasir Puteh, Kelantan, berkata beliau akan meneruskan perjuangan membela nasib masyarakat bandar yang daif.

"Syukur, amanah dan tanggungjawab diberi sekali lagi untuk menduduki kerusi Senator. Peranan saya masih sama sejak dilantik (Senator) pada 2013 dahulu niat saya untuk menolong rakyat mendapat keselesaan antaranya memastikan rakyat miskin di Kuala Lumpur ini mendapat rumah...ini teras perjuangan saya," katanya.

Sementara itu Megat Zulkarnain yang merupakan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia berkata beliau akan menggunakan tanggungjawab yang diberi untuk membawa suara anak muda dalam memastikan hak dan peranan mereka diberi keutamaan.

"Generasi muda amat penting kepada pembangunan negara kerana kalau mahu lihat masa depan negara, kita perlu melihat generasi mudanya.

Justeru saya ingin yakinkan anak muda bahawa suara mereka boleh didengar melalui saluran dan tempat yang betul dan jangan terlibat dengan politik kotor pembangkang yang menggunakan jalan lain untuk bersuara," katanya.

Khairudin yang merupakan Presiden Majlis Senator Malaysia pula mahu menekankan kepentingan menjaga kedaulatan negara bagi memastikan ia tidak dipermainkan oleh mana-mana pihak.

- Bernama

Lihat Komen
ADS