Kementerian diminta jelaskan mengapa Abdul Mutalib dihantar pulang
Terjemahan Keluarga seorang rakyat Indonesia Abdul Mutalib Taib, yang menjadi penduduk tetap (PR) di negara ini mahu penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri mengapa kad pengenalannya dibatalkan dan sebab-sebab mengapa dia ditahan dan dihantar pulang.
Terjemahan Keluarga seorang rakyat Indonesia Abdul Mutalib Taib, yang menjadi penduduk tetap (PR) di negara ini mahu penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri mengapa kad pengenalannya dibatalkan dan sebab-sebab mengapa dia ditahan dan dihantar pulang.
Menurut peguam mereka, Charles Hector, pihaknya akan mengambil tindakan selanjutnya sekiranya kementerian berkenaan menolak rayuan yang dibuat dan alasan untuk berbuat demikian.
"(Permohonan untuk) semakan kehakiman akan dibuat bergantung kepada jawapan terhadap rayuan kami, kerana kami belum tahu sebab-sebab mengapa pihak kementerian membuat pengisytiharan dan perintah itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
"Jika kementerian menolak rayuan kami dan menyatakan alasan-alasannya, barulah kami boleh memohon untuk mendapatkan semakan kehakiman," katanya.
Abdul Mutalib ditahan pada 23 Mac lalu ketika membuat permohonan untuk mendapatkan kad pengenalan bagi anak lelaki sulungnya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Sepang.
Semasa ditahan di depoh Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Abdul Mutalib telah ditunjukkan beberapa perintah, pengisytihran dan notis-notis berhubung dakwaan pembatalan status PRnya pada 1996.
Lima rayuan dikemukakan
Menurut Hector, dalam notis-notis tersebut, jelas disebut bahawa Abdul Mutalib boleh membuat rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penerimaannya.
Keluarganya mendakwa telah mengemukakan lima rayuan kepada pihak kementerian, JPN dan Jabatan Imigresen, termasuk tiga daripadannya dibuat lima atau enam hari sebelum tamat tempoh rayuan tersebut.
Ahad lalu, isterinya Romita Hasibuan mendapati tahu yang Abdul Mutalib, yang tinggal di Malaysia sejak tahun 1980-an, telahpun dihantar pulang ke Medan dua hari sebelumnya sejurus selepas beliau bercakap melalui telefon dengan suaminya itu.
Dalam satu kenyataan akhbar, Hector mengkritik pegawai Imigresen kerana menghantar pulang Abdul Mutalib dan menyifatkan tindakan itu sebagai "bercanggah dengan undang-undang dan tidak mempunyai belas kasihan".
"Kami menggesa Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri supaya melihat perkara ini, dan segera membawa Abdul Mutalib balik ke Malaysia dan dipertemukan dengan isteri dan anak-anaknya," katanya.
"Kami juga mendesak Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri supaya mengambil tindakan sewajarnya terhadap pegawai-pegawai yang bertindak terlalu cepat menghantar Abu Mutalib ke Indonesia dan pelanggaran lain terhadap hak-hak Abdul Mutalib dan keluarganya," katanya.
Hector juga menyentuh mengenai hak anak-anak Abdul Mutalib dalam Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-Kanak, termasuk hak mendapatkan kerakyatan dan identiti, hak untuk mengetahui dan dipelihara oleh ibubapa mereka, dan hak tidak dipisahkan daripada ibu bapa mereka tanpa kerelaan hati mereka.
Walaupun pegawai perhubungan awam JPN telah memberi jaminan bahawa penghantaran pulang Abdul Mutalib tidak akan menjejaskan status keluarganya, tetapi kenyataan berikutnya oleh Pengarah Penguatkuasan dan Siasatan JPN Habsah Wahid, menyatakan sebaliknya.
Laporan akhbar Malay Mail pada 29 April lalu, memetik Habsah sebagai berkata, pembatalan status PR Abdul Mutalib akan mengakibatkan penyemakan semula visa isterinya serta kerakyatan dua anak mereka yang dilahirkan selepas pembatalan status PR tersebut.

