Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kerajaan mahu menghulurkan sebanyak mungkin bantuan dan manfaat untuk rakyat dalam Bajet 2017 namun pada masa sama mengurus kewangan negara secara bertanggungjawab dan berhemah.

Hujah perdana menteri sedap didengar, namun rakyat sukar mempercayainya.

Bukan sahaja negara terpaksa berdepan dengan nilai ringgit yang lemah dan harga minyak yang belum pulih serta keadaan Petronas yang ketat, negara juga diancam dengan ketirisan dan rasuah yang sistemik bawah pemerintahan diterajui Umno.

Rampasan RM114.5 juta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di Sabah, yang didakwa menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion baru-baru ini yang disifatkan sebagai ikan kecil, adalah bukti perkara ini.

Bayangkan berapa banyak duit yang boleh dijumpai kalau mereka tergolong antara ikan-ikan jerung.

Kesungguhan perdana menteri mengawal belanja boleh dinilai daripada kesungguhannya mengawal perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) selama ini, yang hampir peruntukan JPM meningkat dari RM13 bilion ke RM20 bilion dari 2012 ke 2016.

Dan angka ini dijangka meningkat pada tahun 2017.

Pendidikan bawa harapan

Yang menyedihkan, sementara bajet JPM meningkat, bajet untuk rakyat seperti pendidikan pula dikurangkan.

Jika perdana menteri serius mengenai perbelanjaan negara, selain perbelanjaan berhemah, perbelanjaan negara juga perlu tepat ke sektor yang menjana peluang pekerjaan seperti sektor tenaga bersih, infrastruktur, syarikat kecil.

Keutamaan juga pada sektor pendidikan yang membina rakyat dan negara untuk jangka masa panjang, dan bukannya JPM.

Pendidikan memberi keyakinan. Keyakinan membawa harapan. Harapan membawa keamanan.

Oleh itu, pendidikan menjadi asas kepada pembangunan rakyat dan negara.

Gunakan dana yang dijimatkan melalui pelbagai subsidi yang ditarik balik daripada rakyat seperti beras, gula, tepung, minyak dan gas untuk memberikan pendidikan sekolah rendah dan menengah secara percuma kepada anak-anak warganegara yang ibu bapa berpendapatan rendah.

Gunakan dana itu untuk meringankan beban kepada anak-anak muda yang berhutang untuk membiayai pendidikan, seperti Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk melanjutkan tempoh pembayaran balik semula.

Banteras rasuah atau naik cukai

Perdana menteri dan pasukan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) sentiasa melaungkan negara akan menjadi negara sumber pendapatan tinggi.

Jika itu ialah matlamat utama, maka sepatutnya pelaburan perlu difokuskan ke sektor pendidikan.

Perdana menteri usah risau dengan pengurangan bajet JPM pada 2017 asalkan terus memastikan rasuah dibanteras.

Bayangkan kalau ada 10 rumah lagi seperti di Sabah diserbu di seluruh negara untuk mendapatkan balik dana negara yang hilang akibat ketirisan dan kecurian, negara sudah berjimat sebanyak RM1 bilion yang boleh dijadikan peruntukan tambahan untuk JPM, melainkan ketirisan dan kecurian itu datang daripada JPM sendiri.

Bukankah membanteras rasuah lebih mudah daripada menaikkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST)?
Dua-duanya menjana pendapatan, cumanya satu disokong rakyat dan satu lagi bakal dikutuk rakyat habis-habisan.


DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN timbalan presiden PAS.

Lihat Komen
ADS