Harga runcit petrol naik 10 sen, diesel 20 sen
Kabinet hari ini telah memutuskan untuk menaikkan harga runcit diesel sebanyak 20 sen seliter dan harga petrol sebanyak 10 sen seliter mulai tengah malam ini.
Kabinet hari ini telah memutuskan untuk menaikkan harga runcit diesel sebanyak 20 sen seliter dan harga petrol sebanyak 10 sen seliter mulai tengah malam ini.
Pejabat Perdana Menteri, dalam satu kenyataan akhbar menyatakan kenaikan tersebut adalah sebagai langkah untuk membendung kenaikan subsidi yang ditanggung oleh kerajaan untuk produk petroleum.
Namun demikian, harga petrol di sini masih termurah di Asean, kecuali Brunei sementara bagi diesel pula terendah kecuali berbanding Indonesia dan Brunei.
Menurut laporan Bernama , pada tahun lalu kenyataan itu menyatakan Kerajaan menanggung subsidi produk petroleum sebanyak RM4.8 bilion.
Pada tahun ini, kerajaan dijangka akan menanggung subsidi sebanyak RM8.96 bilion jika harga runcit kekal pada paras sedia ada dan dalam tahun yang sama, kerajaan akan mengorbankan sebanyak RM7.85 bilion dalam bentuk pengecualian cukai.
Ini bermakna kerajaan mengalami kerugian sebanyak RM16.8 bilion, katanya.
Dengan menaikkan harga runcit diesel dan petrol, subsidi produk petroleum ialah RM6.7 bilion, iaitu penjimatan sebanyak RM2.2 bilion setahun.
Usaha k urangkan penyeludupan
Meskipun harga produk petroleum antarabangsa telah meningkat sebanyak 65.35 sen seliter bagi petrol dan 75.49 sen seliter bagi diesel dalam tempoh Januari 2004 - April 2005, Kerajaan hanya menaikkan harga sebanyak 7 sen seliter bagi petrol dan 12 sen seliter bagi diesel dalam tempoh tersebut.
Oleh itu, kenyataan itu menyatakan harga runcit baru di Semenanjung Malaysia bagi Petrol RON97 akan naik kepada RM1.52 seliter dari RM1.42, manakala Petrol RON92 akan naik kepada RM1.48 dari RM1.38 dan harga diesel baru adalah RM1.081 dari 88.1 sen.
Bagi negeri Sabah, harga runcit baru bagi Petrol RON97 akan naik kepada RM1.50 seliter dari RM1.40, manakala Petrol RON92 akan naik kepada RM1.48 dari RM1.38 dan harga diesel baru adalah RM1.084 dari 88.4 sen.
Manakala di Sarawak, harga runcit baru bagi Petrol RON97 akan naik kepada RM1.51 seliter dari RM1.41, manakala Petrol RON92 akan naik kepada RM1.48 dari RM1.38 dan harga diesel baru adalah RM1.078 dari 87.8 sen, katanya.
Kenyataan itu menyatakan bahawa kenaikan terakhir diesel sebanyak 5.0 sen dibuat pada bulan Mac 2005 manakala kenaikan terakhir petrol sebanyak 5.0 sen seliter pada bulan Oktober 2004.
Menurutnya, subsidi bukanlah cara yang terbaik untuk membantu golongan tertentu kerana ia mewujudkan herotan pasaran yang menyebabkan penggunaan sumber yang tidak cekap.
Di samping itu, katanya, ia juga akan memyebabkan kegiatan penyelewengan seperti penjualan produk bersubsidi kepada mereka yang tidak layak.
Penyeludupan diesel dan petrol ke luar negara pula bermakna Kerajaan Malaysia membiayai penggunaan produk berkenaan oleh rakyat asing.
Oleh itu, kenaikan harga runcit ini akan dapat mengurangkana jurang antara harga pasaran dan harga subsidi, dan seterusnya diharap dapat mengurangkan kegiatan penyelewengan dan penyeludupan.
Kenyataan itu berkata, andainya kadar penyeludupan ialah 10 peratus, bermakna rakyat telah memberi subsidi RM480 juta kepada rakyat asing, berdasarkan jumlah subsidi sebanyak RM4.8 bilion pada tahun 2004.

